Rencana

Mengapa kita bersolidariti bersama SPRM

Saya telah melawan dan memarahi bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, dan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, kerana tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan mereka.

Saya telah banyak kali kecewa kerana kegagalan kedua-dua agensi tersebut, Jabatan Peguam Negara dan SPRM, menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka secara bebas dan profesional.

Kita telah melihat bagaimana prinsip keadilan telah dihina begitu rupa apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa/dipenjarakan untuk kali kedua, di Penjara Sungai Buloh, dan ia menjadi satu titik hitam kepada Jabatan Peguam Negara, dan Kehakiman.

Kematian Teoh Beng Hock pula akan selamanya menjadi dosa yang perlu ditanggung oleh SPRM kecuali apabila suatu hari nanti, pembunuh-pembunuhnya dapat dibawa ke muka pengadilan.

Tetapi ini tidak bermakna saya harus menyimpan dendam. Saya tidak akan berdiam diri apabila serangan dilakukan terhadap kebebasan, sikap tidak berpihak, integriti, dan profesionalisme institusi utama negara termasuk Jabatan Peguam Negara, SPRM, serta Bank Negara, Parlimen dan media massa, walaupun kita tahu mereka mempunyai kelemahan dalam mencapai tahap kebebasan, sikap tidak berpihak, integriti dan profesionalisme.

Kita perlu melihat bahawa serangan yang akan melemahkan lagi mereka adalah satu penganiayaan terhadap matlamat demokrasi dan usaha pembinaan negara bagi Malaysia.

Inilah yang saya katakan dalam forum “Malaysia: Where do we go from here” di KLSCAH, Kuala Lumpur malam tadi, dan inilah sebabnya mengapa saya melawat SPRM hari ini untuk menyatakan solidariti dan sokongan saya. – Roketkini.com