Berita

Penemuan serpihan MH370: Takziah untuk keluarga, perlu cari punca tragedi

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: DAP mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH370 berikutan penemuan serpihan kapal terbang tersebut di Pulau Reunion berhampiran Madagascar.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, berkata kerajaan Malaysia dan pakar antarabangsa perlu meneruskan usaha untuk mencari serpihan bahagian-bahagian pesawat tersebut, serta mencari punca sebenar tragedi itu.

Katanya, sejak MH370 hilang begitu sahaja sejak 17 bulan lalu, keluarga 239 mangsa, termasuk kakitangan pesawat, tetap menaruh harapan agar kapal terbang tersebut ditemui.

“Beberapa bulan lalu, keluarga kakitangan dan penumpang MH370 marah dengan MAS yang telah mengisytharkan pesawat itu telah hilang, dan membayar pampasan kepada keluarga, sedangkan bagi mereka, pengumuman MAS itu dibuat tanpa bukti yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan penemuan terbaru itu, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh isu nahas tersebut dapat dirumuskan dengan benar dan betul untuk membolehkan keluarga mangsa menerima hakikat sebenar berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan awal hari ini bahawa pihak pencari dan penyiasat antarabangsa telah mengesahkan bahawa serpihan logam yang ditemui di pulau milik Perancis di Lautan Hindi itu adalah daripada pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Dyana Sofya Mohd Daud, yang turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa, berkata pihak yang berkenaan perlu mencari dan memberi jawapan sebenar tentang apa yang berlaku kepada pesawat MH370.

“Kami bersimpati dan sentiasa berdoa untuk keluarga dan sahabat para penumpang dan kakitangan pesawat tersebut,” ujar beliau. – Roketkini.com