Rencana

Impian mangsa Empangan Bengoh

KUCHING: Bagi kebanyakan Orang Asal Sarawak, kepayahan hidup bukan perkara baru. Ia adalah tema kehidupan mereka. Kebanyakan tinggal di pedalaman dan nasib mereka telah terabai selama berdekad. Lebih malang, mereka yang tinggal di pinggir bandar menerima nasib sama.

Kebanyakannya tidak mendapat kemudahan air paip. Mereka perlu berjalan berjam-jam lamanya untuk mengambil air bersih dari sungai. Rata-rata kampung tiada bekalan elektrik dan penduduk perlu bergantung kepada generator. Mereka tiada pilihan lain selain perlu menampung kos membeli diesel.

Anak-anak mereka tidak ke sekolah. Peluang mendapatkan pendidikan sangat kecil sama ada kerana tiada pengangkutan awam, tidak mampu membayar yuran asrama (bagi yang tinggal jauh dari sekolah), ataupun si anak perlu bekerja untuk membantu menampung keperluan harian.

Keadaan menyedihkan ini dapat dilihat dengan jelas di Kampung Muk Ayun, Kampung Sting dan Kampung Nyegol di Bengoh. Senario di kampung-kampung ini merupakan gambaran biasa di Sarawak. Sejak sekian lama komuniti Orang Asal diusir berkali-kali dari tanah NCR.

Selalunya, tanah mereka dirampas dan mereka “ditempatkan semula” tanpa pampasan yang relevan. Proses ini dilaksanakan tanpa banyak memikirkan emosi dan perasaan komuniti Orang Asal.

Seramai 60 pemilik rumah di tiga kampung itu asalnya datang dari Kampung Taba Sait, sebuah kampung Bidayuh di tanah tinggi Padawan. Mereka dipaksa berpindah kerana banjir yang disebabkan projek pembinaan Empangan Bengoh. Mereka menolak pelan penempatan semula yang diarahkan kerajaan dan menetap semula di lokasi sama yang tidak terjejas oleh empangan yang juga merupakan sebahagian tanah nenek moyang mereka.

Kerja membina paip saliran

Kerja membina paip saliran

Untuk tiba di Kampung Muk Ayun bukan mudah. Perlu berjalan kaki selama dua jam dari Kampung Kemas, kampung berhampiran jalan utama. Untuk ke Kampung Nyegol pula perlu berjalan kaki selama lima jam.

Ketiadaan jalan utama yang menghubungkan tiga kampung ini menyukarkan lagi kehidupan penduduk setempat. Sering kali, mereka perlu meredah hutan tebal berjam-jam untuk membawa hasil tani ke pasar atau pekan.

Situasi kecemasan seperti ketika ada penduduk jatuh sakit dan perlukan rawatan segera bukanlah perkara asing. Tragiknya, banyak kes di mana pesakit tidak sempat mendapat rawatan.

Bertahun-tahun masalah mereka ini diabaikan kerajaan akhirnya mereka mengambil inisiatif sendiri. Pada 2014, mereka mengumpul dana sendiri untuk membina jalan dan berjaya mengumpul lebih kurang RM80,000. Setiap rumah menyumbang RM1,000 untuk tujuan ini.

Pembinaan jalan sepanjang 8km  bermula sekitar Oktober 2014. Mereka menyewa jentolak dan penduduk kampung bergotong-royong menyiapkan jalan.

Bagaimanapun, dana mereka habis digunakan ketika pembinaan jalan hanya hanya 30 peratus siap. Mereka bertekad untuk meneruskan pembinaan dan akhirnya berjumpa dengan pasukan Impian Sarawak. Impian Sarawak berjaya membantu membina jambatan dan terowong untuk sistem paip saliran. Pasukan Impian turut membantu memastikan penggunaan sebuah traktor yang akan memadat dan meratakan jalan.

bengoh5

Sukarelawan Pasukan Impian Sarawak bergotong-royong bersama penduduk setempat membina jambatan

Sehingga pertengahan Julai, jalan itu siap dibina sehingga ke Kampung Muk Ayun, iaitu sepanjang 6 kilometer. Lori-lori, kereta, dan motosikal sudah mula menggunakan jalan itu seharian, dengan perjalanan cuma 20 minit berbanding dua jam berjalan kaki sebelum ini.

Impian Sarawak kini sedang menyiapkan jalan dari Kampung Muk Ayun ke Kampung Sting sejauh 1.5 kilometer dan jika dana mencukupi pembinaan jalan akan diteruskan ke Kampung Nyegol sejauh 4 kilometer.

Pasukan Impian Sarawak berharap dapat menyiapkan kesemua jalan menghubungkan ketiga-tiga kampung yang akan memudahkan perhubungan penduduk setempat sekali gus mengubah hidup mereka. – Roketkini.com
Impian Sarawak memerlukan sokongan dan derma anda untuk terus membantu penduduk pedalaman di Sarawak. Sumbangan derma boleh disalurkan di akaun 5141 9665 9143 (Maybank). Untuk maklumat lanjut, kunjungi facebook page facebook.com/ImpianMalaysia dan penyertaan sebagai sukarelawan boleh diajukan ke emel [email protected]