Rencana

Serbuan Rumah Api: Jangan gertak anak muda

Tindakan pihak berkuasa baru-baru ini menyerbu Rumah Api, sebuah tempat penganjuran konsert alternatif di Kuala Lumpur ketika berlangsungnya acara Party Tonight, Revolution Tomorrow, amat mendukacitakan, dan kami menentang sekeras-kerasnya tindakan sedemikian.

Lebih daripada 100 orang terdiri daripada pemilik tempat, pengunjung gig dan anggota band direman dan disiasat di bawah Akta 124B dan 143 Kanun Keseksaan serta Seksyen (4)(1)(b) Akta Hasutan.

Persoalannya, sejak bila menikmati muzik secara langsung di gig-gig ‘underground’ menjadi satu jenayah?

Pihak polis tidak sepatutnya membaca tajuk acara tersebut secara literal sehingga menganggapnya sebagai satu perhimpunan haram, menghasut dan bertujuan menggugat demokrasi berparlimen.

Jika tafsiran secara literal itu memadai untuk tindakan undang-undang diambil, maka apakah lagu bertajuk Revolusi oleh Bunkface yang pernah berkumandang di radio itu juga satu jenayah mahu menggugat demokrasi berparlimen? Adakah pihak berkuasa berat sebelah dalam hal ini?

Memandangkan gig itu berlangsung pada malam sebelum perhimpunan Bersih 4 berlangsung, tindakan pihak polis ini dilihat bukan sekadar kegagalan memahami nuansa makna sesuatu acara seni itu, tetapi juga sebenarnya satu cubaan bersungguh pihak polis untuk menggertak anak muda. Bertujuan menghantar isyarat kepada mereka agar menjauhi sebarang acara yang di kaca mata pemerintah menggugat pengaruh pemerintah.

Tindakan sebegini hanya mengesahkan tanggapan rakyat bahawa ketakutan hilang pengaruh dan kuasa membuatkan pemerintah sanggup menekan sesiapa saja yang dirasakan menggugat. Bukan saja Rumah Api, bahkan jika rumah urut dirasakan menggugat, maka ia juga mungkin turut diserbu dan didakwa menghasut!

Pihak polis sepatutnya bersikap profesional dan bukannya dilihat berpihak kepada mereka yang sedang goyang di tampuk kuasa.

Pihak polis harus fokus kepada jenayah sebenar dan korupsi besar kerana ia dapat menyelamatkan negara, bukannya menggertak anak-anak muda yang mahu berhibur dan meluahkan perasaan mereka melalui muzik. – Roketkini.com

 

*Penulis adalah Ketua Sosialis Muda DAP Subang