Berita

DAP kutuk perbuatan pijak gambar Najib, Hadi

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Pimpinan DAP mengutuk tindakan dua peserta Bersih 4 memijak gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang dilakarkan berpelukan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata perbuatan itu bukanlah budaya politik atau sivik yang diingini di Malaysia.

Beliau menolak perbuatan tersebut kerana berpegang kepada pendirian dan prinsip beliau sejak berkecimpung dalam dunia politik hampir 50 tahun lalu.

Namun, beliau sedar, ini bukan kali pertama DAP dipersalahkan atas perbuatan yang tidak ada kena-mengena dengan parti, kerana ada pihak yang sentiasa mengapi-apikan politik perkauman.

Contohnya, beliau berkata, pada Januari 2014, Pemuda UMNO mengadakan demonstrasi ganas dengan laungan perkauman terhadap DAP sebagai respon terhadap flash mob yang patung Perdana Menteri yang mulutnya disumbat kangkung.

Sedangkan, bukan DAP yang menganjurkan flash mob dan membuat patung tersebut tetapi sengaja dijadikan sasaran oleh UMNO kerana mahu membangkitkan api perkauman, tambah beliau.

“Sepanjang 50 tahun penglibatan saya dalam politik, saya tidak pernah memijak gambar mana-mana pemimpin politik,” ujarnya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menjelaskan, memang ada orang yang menuduh beliau dan Setiausaha Agung DAP Lim

Guan Eng memijak gambar bekas Adun-Adun Pakatan Rakyat yang belot kepada parti sehingga menyebabkan Pakatan kehilangan kuasa di Perak pada 2009, walaupun ia merupakan pembohongan.

“Ini tidak benar dan ia adalah putar belit kebenaran. (Pada masa itu) memang penganjur konvensyen DAP Perak meletakkan gambar Adun-Adun pembelot tersebut di ruang masuk untuk dipijak, tetapi saya dan Guan Eng enggan memijaknya.

“Malah gambar-gambar yang diambil oleh jurugambar menunjukkan sedaya-upaya mengelak diri daripada memijak gambar tersebut,” jelas beliau.

Menurutnya, politik bukan sesuatu untuk memijak gambar pihak lawan, walau betapa bencinya kita kepada mereka, tetapi ia adalah tentang dasar dan program untuk kebaikan rakyat tanpa mengira kaum, agama, gender atau parti politik.

Atas sebab itu juga, katanya, pada September 2012, beliau meminta Najib memaafkan dua remaja yang telah memijak gambar Perdana Menteri sehari menjelang Hari Merdeka.

Kit Siang berkata, beliau memang mengutuk tindakan dua remaja tersebut kerana apa yang mereka lakukan adalah salah dan tidak boleh diterima, tetapi beliau kesal kerana sikap berat sebelah kerajaan Barisan Nasional dalam menangani isu seperti itu.

Katanya, pihak polis tidak bertindak sama adil terhadap ahli atau penyokong UMNO yang telah melakukan perbuatan yang keji seperti kencing, bakar dan simbah darah binatang ke atas gambar-gambar pemimpin pembangkang.

“Sudah ada senarai panjang tentang kes-kes di mana pemimpin Pakatan Rakyat dan masyarakat sivik seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, bekas pengerusi bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenivasan yang telah dimaki hamun dan dihina tanpa sebarang tindakan, malah tiada kutukan daripada pihak kerajaan,” ujar beliau. – Roketkini.com