Berita

Sibuk pertahan Najib, internet diatasi Sri Lanka

KUALA LUMPUR 28 SEPT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia harus menumpu usaha membaiki infrastruktur internet berbanding menjalankan kerja propaganda untuk Datuk Seri Najib Razak demi mempertahan kedudukannya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata menteri perlu lebih prihatin terhadap kedudukan buruk purata kelajuan internet Malaysia yang ketinggalan berbanding negara lain termasuk Sri Lanka dan Thailand.

Pada kenyataan media hari ini, beliau berkata, Malaysia berada pada kedudukan ke-70 mengikut suku kedua Laporan State of the Internet (SOTI) 2015 yang diumumkan empat hari lalu.

Katanya, Malaysia mencatat purata kelajuan 5.0 megabits per saat (Mbps), lima kedudukan ketinggalan dengan Sri Lanka yang keupayaannya meningkat 50 peratus setiap tahun.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak perlu lebih prihatin terhadap kedudukan itu kerana ia boleh menjejaskan potensi perkembangan ekonomi negara.

“Lebih serius, Malaysia ketinggalan dari persaingan teknologi maklumat yang menjadi matlamat penubuhan Multimedia Super Corridor (MSC) dua dekad lalu,” katanya.

Di rantau ini, Malaysia juga ketinggalan kepada Australia (7.8Mbps), New Zealand (8.4 Mbps), Taiwan (10.6 Mbps), Singapore (12.7 Mbps), Japan (16.3 Mbps), Hong Kong (17 Mbps) and Korea Selatan (23.1 Mbps) dan Thailand (8.6 Mbps)

Kit Siang berkata, Salleh lebih sibuk dengan blog dan Facebook untuk mempertahan kedudukan Najib apabila memapar empat entri menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Patutnya, Salleh menggunakan masa itu untuk mengadakan brainstorming dengan pakar IT bagi meningkatkan keupayaan infrastruktur internet sekaligus membaiki kedudukan statistik,” katanya.