Rencana

SPR dan masalah-masalah yang tak pernah selesai

TIDAK seperti sebelum ini, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, semua parti politik boleh membuat pendaftaran pengundi baru. Ini membolehkan semua parti politik secara giat membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pendaftaran pengundi baru.

Walaupun tidak membenarkan penolong pendaftar parti politik membuat pertukaran alamat, sekurang-kurangnyamereka boleh membantu membuat pendaftaran pengundi baru.

Betapa tidak, parti politik adalah kumpulan berkepentingan dalam hal ini. Sangat wajar untuk SPR membenarkan wakil parti politik dilantik sebagai penolong pendaftar SPR.

Anehnya, selepas PRU13, SPR tiba-tiba tidak mahu melantik semula penolong pendaftar parti politik. Alasannya tidak munasabah. Kononnya, SPR sedang membuat penyelarasan terhadap pelaksanaan kaedah sedia ada.

spr-1

Ini jawapan yang tidak rasional.

SPR boleh membuat kerja penyelarasan di samping penolong pendaftar menjalankan kerja pendaftaran pemilih baru.

Kerja pendaftaran pemilih baru tidak boleh diberhentikan. Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan pendaftaran jika seseorang warganegara mencapai usia 21 tahun, mahu menggunakan hak mereka sebagai pengundi.

Oleh itu, kerja pendaftaran pemilih baru dan pertukaran alamat masih dilaksanakan SPR selepas PRU 13. Peliknya, SPR tidak mahu melantik penolong pendaftar dari kalangan wakil parti politik.

Logo Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)Sebaliknya, SPR melantik jabatan dan agensi kerajaan tertentu untuk membantu membuat kerja pendaftaran pengundi baru. Ketua Kampung dan Ketua Kampung Baru juga dilantik untuk membuat tugas sama.

Pejabat SPR, Majlis Daerah, Pejabat Tanah dan Pejabat Pos juga dijadikan pusat mendaftar pengundi baru dan bertukar alamat. Jika pihak itui boleh membuat kerja pendaftaran pemilih, kenapa tidak wakil parti politik?

Nyata, Barisan Nasional (BN) takut kepada kekuatan pembangkang yang giat membuat pendaftaran pengundi sebelum ini. Selepas prestasi BN merosot dalam PRU 13, SPR diarahkan supaya tidak melantik lagi wakil parti politik sebagai penolong pendaftar.

Nampaknya, SPR tidak ada tulang belakang untuk berfungsi sebagai sebuah badan berkecuali.

Imej SPR semakin tercemar apabila fungsinya diganggu kerajaan. Mereka sepatutnya bersikap berkecuali dan berlaku adil kepada semua parti politik. Malangnya, SPR lupa peranan utamanya sebagai badan neutral, sebaliknya hanya mengikut telunjuk BN.

SPR harus melantik semula wakil parti politik sebagai penolong pendaftar. Ini memberi ruangan dan peluang kepada lebih ramai pengundi muda mendaftarkan sebagai pemilih.

Pendek kata, rakyat harus diutama, bukannya pemimpin kerajaan yang memperkuda institusi itu.

SPR tiada pilihan lain dan perlu kembali kepada landasan asal.

 
* V Sivakumar ialah Ahli Parlimen Batu Gajah merangkap Timbalan Pengerusi DAP Perak