Rencana

PTPTN: Mekanisme bayaran balik, kualiti IPTS dan kaedah penyelesaiannya

AKTA Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diperkenal pada 1997 bagi menyokong permintaan mendadak pengajian tinggi terutama dalam sektor institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Dengan ketersediaan pinjaman PTPTN, pendaftaran universiti pun berganda daripada 58,286 pada 1990 kepada beratus-ratus ribu pada hari ini. Sehingga 2014, PTPTN menyediakan pinjaman berjumlah RM49.4 bilion kepada lebih 2.1 juta orang pelajar.

Walaupun PTPTN memudahkan akses kepada pengajian tinggi dan membolehkan ratusan ribu anak muda melanjutkan pengajian, namun ia dibelenggui dua masalah besar iaitu kadar bayaran balik pinjaman ang rendah dan percambahan IPTS yang tidak berkualiti serta gagal memberi penuntutnya pendidikan dan kemahiran yang diperlukan pasaran kerja.

Kadar bayaran balik

Berdasarkan jawapan Parlimen, sehingga 30 September 2015, jumlah keseluruhan bayaran balik PTPTN yang diterima ialah RM6.71 bilion (45.8 peratus) berbanding bayaran balik sebenar yang perlu diterima iaitu RM14.65 bilion.

Daripada 1,792,919 peminjam, hanya 1,185,077 orang membuat bayaran balik. Ini bermaksud seramai 607,842 peminjam gagal membuat bayaran balik, mengakibatkan tunggakan berjumlah RM4.97 bilion.

Masalah kadar pembayaran balik yang rendah sebenarnya tidak menghairankan. Ini disebabkan beberapa faktor. Pertama, kita tidak boleh menafikan terdapat sikap ambil ringan daripada Kerajaan. Jika orang mengambil pinjaman bank, mereka tidak akan menzahirkan sikap sama.

Kedua, sememangnya ada ramai graduan yang tidak mampu membayar balik. Hakikatnya, iklim ekonomi negara belum kembali kepada zaman pra-1997. Kegagalan negara untuk mencapai KDNK sekurang-kurangnya tujuh peratus setahun sebagaimana yang dicatat pada awal 1990-an memberi kesan terhadap pasaran kerja dan guna tenaga negara.

Kini, Malaysia berdepan dengan masalah pengangguran dan guna tenaga tidak penuh (underemployment) yang agak menggusarkan. Sebagaimana yang dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar pada Mei lalu, daripada 400,000 penganggur di negara ini, 161,000 daripadanya merupakan siswazah.

Kementerian sudahpun mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman, antaranya mempelbagai saluran bayaran balik, mengeluarkan surat arahan bayaran balik, mengambil tindakan undang-undang termasuk saman, mewajibkan potongan gaji ke atas kakitangan awam, menahan peminjam ingkar ke luar negara dan menyenarai hitam dalam CCRIS.

Langkah itu baik. Namun saya mencadangkan beberapa lagi pembaharuan yang bukan sahaja meningkatkan kadar pembayaran balik tetapi juga meringankan beban peminjam dan memperbaiki kualiti pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT).

Bayaran balik berdasarkan pendapatan

Ketika ini, PTPTN menggunakan kaedah pinjaman perumahan (mortgage-type loan) iaitu kadar faedah, tempoh pembayaran, dan kadar bayaran bulanan adalah tetap. Skim itu menjadi beban besar kepada graduan.

Misalnya, jika seseorang graduan itu bergaji RM2,000 sebulan, kadar bayaran bulanan RM200 sudah mencecah 10 peratus daripada pendapatan. Ini belum mengambil kira komitmen lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sewa, hutang kenderaan, bil telefon dan sebagainya.

mahasiswaIni antara punca utama mengapa kadar pembayaran balik pinjaman PTPTN begitu rendah. Dalam erti kata lain, kegagalan bayaran balik yang berleluasa dalam kalangan graduan bukan semata-mata berpunca daripada sikap culas tetapi hakikat bahawa mereka tidak mampu membayarnya.

Saya mencadangkan kementerian untuk mempertimbang kaedah bayaran balik berdasarkan pendapatan (income-contingent repayment) iaitu kadarnya bergantung kepada pendapatan peminjam. Ini bermaksud, lagi tinggi gaji seseorang graduan itu, lagi besar kadar bayarannya, begitu juga sebaliknya.

Selain mengurangkan beban pembayaran balik, pendekatan itu juga akan mengurangkan tempoh bayaran balik sejajar dengan peningkatan pendapatan graduan. Sistem itu jauh lebih progresif kerana setiap graduan memulakan kerjaya dengan bidang, jawatan dan tangga gaji yang berbeza.

Pada masa sama, saya mencadangkan agar garis pendapatan minimum bayaran balik diperkenal. Sebagai contoh, di Australia, hanya graduan yang mencapai pendapatan AUD54,126 setahun diwajib memulakan bayaran balik pinjaman pendidikan mereka.

Ini untuk mengelak beban kewangan terlalu besar bagi graduan yang bergaji kecil. Di Malaysia, mungkin garis pendapatan minimum boleh ditetapkan pada kadar RM3,500 sebulan atau RM42,000 setahun.

Akhir sekali, PTPTN juga harus dihubungkan kepada sistem KWSP atau LHDN supaya kadar bayaran balik boleh diselaras kepada gaji. Pada masa sama, pemotongan dari sumber (deduction from source) juga boleh dilaksanakan.

IPTS tidak berkualiti

Oleh sebab PTPTN mempunyai syarat pinjaman yang boleh dikatakan longgar untuk pemohon IPTS, maka tidak mengejutkan apabila golongan kapitalis mengambil kesempatan ke atas hakikat ini.

Justeru, kita melihat percambahan IPTS yang meragukan dari segi kualiti dan ditubuh semata-mata untuk mengutip wang PTPTN yang senang diperoleh.

Tidak hairanlah apabila kita melihat banyak IPTS berlumba-lumba mendapatkan mahasiswa dengan syarat kemasukan yang sangat minimum – lulus SPM dengan satu kredit atau kelayakan setaraf dengannya untuk kursus sijil dan lulus SPM dengan tiga kredit atau kelayakan setaraf dengannya untuk kursus diploma.

gradsHal ini bukan sahaja melahirkan graduan tidak berdaya saing tetapi juga melebihi kehendak pasaran. Mengikut laporan Bank Dunia, wujud kesenjangan antara pembekalan dan permintaan dalam pasaran kerja untuk graduan – lebihan graduan berbanding pekerjaan sedia ada yang sesuai dengan kelulusan mereka.

Ketidakpadanan pembekalan dan pemintaan menyumbang kepada pengangguran dan guna tenaga tidak penuh (underemployment) di negara ini. Mengikut perangkaan kementerian, 27 peratus graduan IPTS dan 24 peratus graduan IPTA (institusi pengajian tinggi awam) tidak berjaya mendapat kerja enam bulan selepas tamat pengajian.

Berdasarkan kenyataan menteri, lebih kurang 8.8 peratus anak muda dalam lingkungan usia 20 hingga 24 tahun sedang menganggur.

Bagi mengatasi masalah kelemahan kualiti pengajian tinggi, khususnya dalam kalangan IPTS, juga untuk menangani kadar pembayaran balik yang rendah, saya mencadangkan supaya beban kewangan dialih daripada kerajaan kepada swasta.

Sistem baucer

PTPTN kini bergantung kepada dana awam, dan kegagalan untuk mengutip balik pinjaman tentu membebankan Kerajaan. Oleh itu, saya cadangkan agar pinjaman pendidikan diambil alih oleh sektor swasta, seperti bank atau institusi kewangan lain.

Sektor swasta bukan sahaja mempunyai jumlah dana mencukupi untuk menyediakan pinjaman pendidikan yang diperlukan, malah pasti lebih efisien dan efektif dari segi pengutipan balik.

Namun, ini tidak bermakna kerajaan boleh cuci tangan dalam hal ini.

Pertama, saya mengesyorkan sistem baucer sisi-permintaan (demand-side voucher system) iaitu setiap graduan SPM akan menerima subsidi kerajaan.

Bagi memastikan subsidi itu memanfaatkan golongan kurang berpendapatan serta memberi ganjaran untuk prestasi baik, maka formula baucer boleh dikaitkan kepada pendapatan isi rumah serta prestasi peperiksaan mahasiswa itu.

Sebagai contoh, seseorang graduan SPM dari isi rumah berpendapatan rendah dan mencapai keputusan cemerlang, mungkin diberi baucer bernilai RM20,000. Bagi mahasiwa dari isi rumah yang lebih berada dan mungkin mendapat keputusan tidak terlalu hebat, mungkin diberi baucer bernilai RM10,000.

Saya menggunakan angka-angka ini hanya untuk memberi gambaran – formula yang betul harus ditetapkan setelah mengkaji pelbagai faktor.

Baucer itu pula boleh digunakan untuk memasuki mana-mana IPT dan bertindak sebagai subsidi yang ditanggung oleh kerajaan. Sudah tentu, baucer itu tidak akan menampung seluruh kos pengajian, dan di sini pinjaman pendidikan pihak swasta yang dapat berfungsi sebagai pelengkap kepada sistem baucer.

Kedua, pinjaman pendidikan walaupun daripada sektor swasta, harus dijamin Kerajaan Persekutuan agar kadar faedah pinjaman berdaya saing dapat diperoleh dan menjadikan pinjaman itu sebagai aset bernilai tinggi yang memungkinkan peluang pelaburan dalam bentuk aset securiti pada masa depan.

Pendekatan ini, dilaksanakan bersama dengan kaedah bayaran balik berdasarkan pendapatan dan juga garis minimum pendapatan, akan memastikan kelestarian jangka panjang pinjaman pendidikan.

Ini kerana pengalaman sektor pinjaman swasta menunjukkan kadar bayaran balik lebih tinggi kerana ramai khuatir akan natijah yang bakal ditimpa jika tidak membayar balik.

Lebih penting lagi, dengan peralihan pinjaman pendidikan kepada pihak swasta, kita dapat membendung masalah IPT tidak berkualiti. Ini kerana mekanisme pasaran akan menghasilkan pembetulan (market correction).

Sebagai contoh, sudah tentu bank tidak akan memberi pinjaman kepada mahasiswa yang belajar di institusi meragukan dari segi kualiti, kerana kebarangkalian graduannya mendapat kerja baik, seterusnya membayar baik pinjaman adalah rendah.

Dalam erti kata lain, ia akan secara semula jadi memaksa IPT untuk meningkatkan daya saingan dan mengurangkan jumlah institusi tidak berkualiti.

Saya harap cadangan pembaharuan itu dapat diberi pertimbangan oleh kementerian supaya kita dapat sama-sama memantapkan lagi sektor pendidikan tinggi dengan cara yang dapat menjamin kelestarian pinjaman pendidikan, tidak membebankan peminjam.

Pada masa sama, ia juga memastikan kualiti pendidikan yang ditawarkan.

 

* Zairil Khir Johari ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera