Rencana

Fitnah Si Lebai malang; sudah tewas, menipu pula

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang nampaknya tidak akan teragak-agak lagi untuk mengheret Ahli Parlimen PAS Temerloh Nasrudin Hasan Tantawi kembali ke mahkamah sekiranya Tantawi terus memutar belit kesudahan kes saman fitnah yang baru semalam selesai.

Kurang beberapa jam selepas penghakiman persetujuan direkodkan mahkamah, Tantawi mula membebel tentang bagaimana beliaulah hero perjuangan melawan kafir Cina DAP, yang tewas syahid setelah bersetuju dengan rundingan ‘di luar mahkamah’.

Jenaka cerita Tantawi ini terlalu banyak lapis. Kalau persetujuan diputuskan di luar mahkamah, maka tidak perlulah beliau mendedahkan ada perbincangan di hadapan pesuruhjaya kehakiman di dalam kamar hakim.

Jenaka kedua muncul apabila Pegawai Khas Undang-undang Ketua Menteri muncul membantah dakwaan putar belit Tantawi dengan mendedahkan kenyataan verbatim MP Temerloh itu yang dibacakan di dalam mahkamah.

“Menghadiri perbicaraan hari ini dan setelah meneliti dokumen yang dikemukakan ke Mahkamah, saya kesal artikel saya mencetuskan salah faham terhadap YAB Ketua Menteri Pulau Pinang. Pihak pihak bersedia untuk tidak memanjangkan kes ini dengan menarik balik artikel saya yang bertarikh 6 Ogos 2014 yang lalu yang didapati tidak mempunyai asas ke atas Ketua Menteri.”

Turut didedahkan bahawa penghakiman persetujuan turut merekodkan bahawa mahkamah memerintahkan Tantawi supaya membayar RM10,000 kepada Ketua Menteri sebagai kos tindakan undang-undang.

Tiga hal penting perlu difahami daripada kenyataan Tantawi itu: pertama, beliau kesal dengan tulisannya; kedua, tulisan tersebut diakui tidak berasas dan ditarik balik; dan ketiga, kos RM10 ribu dibayar kepada Ketua Menteri.

Mustahil Tantawi bersetuju menarik balik kenyataannya jika beliau percaya apa yang pernah didakwa mengenai amalan tender terbuka di Pulau Pinang itu benar belaka. Mustahil juga Tantawi mengaku kesal, sekiranya tulisan di Facebooknya itu diyakini benar.

Jika beliau benar-benar percaya dakwaannya benar, seharusnya Tantawi tidak bersetuju dengan penghakiman persetujuan dan mendesak supaya Lim Guan Eng meneruskan sahaja saman fitnah terhadapnya. Penat naik tangga mahkamah tinggi Pulau Pinang demi kebenaran, sekiranya kebenaran yang dipikul Tantawi itu tidak didedahkan.

Lebih menarik lagi jika kita membaca akhbar The Star semalam di muka surat 23 yang melaporkan bahawa terdapat cubaan aneh oleh Tantawi untuk menukar kenyataannya, sehingga ditegur oleh Yang Arif Chong Fong bahawa kenyataan Ketua Penerangan PAS itu berbeza dengan kenyataan yang dirakamkan kedua-dua pihak di kamarnya sebelum itu.

Lebih lucu lagi, kita turut diberitahu bahawa kenyataan pembelaan Nasrudin Tantawi yang berhujah bahawa kerajaan negeri adalah badan awam yang tidak boleh mengambil tindakan saman fitnah terhadapnya. Lah.. tempoh hari bukankah beliau yang beriya mencabar supaya Lim Guan Eng memfailkan saman terhadapnya?

Sesudah difailkan saman, dihujah pula tidak boleh saman, dan kemudian buat keputusan untuk tarik balik kenyataan, kesal dan setuju bayar kos tindakan undang-undang?

Eh lebai ni. Sudah lah kalah tersungkur, mahu cuba berbohong dengan kita pula? -Roketkini.com