Berita

Tak cukup penguatkuasa: Alasan Adnan kelakar tahap Ahmad Maslan

MENTAKAB 20 JAN: Alasan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob kononnya kerajaan negeri tiada sumber mencukupi bagi menyelesaikan isu perlombongan bauksit disifatkan sebagai alasan ‘kelakar’ untuk memperbodoh rakyat demi menutup kelemahan pentadbirannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata Adnan tidak harus memberi jawapan ‘lepas tangan’ seperti itu kerana Pahang sebenarnya memiliki asas mencukupi bagi menangani isu berkenaan.

“Pahang terdiri daripada 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang setiap satu ada pasukan penguatkuasa. Jika ambil kira polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), jumlahnya lebih daripada cukup untuk membanteras perlombongan haram bauksit.

“Jawapan Menteri Besar Pahang itu betul-betul kelakar, dia boleh jadi badut seperti Ahmad Maslan dalam isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” katanya kepada Roketkini.

Sebelum ini, Adnan dilapor memberi alasan kerajaan negeri terpaksa meminta bantuan kerajaan Persekutuan kerana bilangan penguatkuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) cuma 18 orang.

Ia berikutan pendedahan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Azam Baki bahawa Pahang ada lebih 200 pelombong bauksit haram, malah wujud unsur rasuah dalam kegiatan itu.

Alasan itu, kata Naib Pengerusi DAP Pahang itu, menunjukkan Adnan tidak serius mengambil tindakan terhadap pelombong haram berikutan ada pelbagai cara boleh dilaksanakan tetapi tidak dilakukan.

“Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan PTG juga ada alat pengesan pencerobohan kawasan haram, jadi boleh minta kerjasama mereka bagi mengesan aktiviti itu.

“Kerajaan negeri juga boleh menggunakan helikopter termasuk helikopter tanpa pemandu untuk mengenal pasti kawasan terlibat,” katanya. -Roketkini.com