Berita

Pengerusi baharu SPR perlu berani laksana reformasi pilihan raya

GEORGETOWN 20 JAN: Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat, Dr Ariffin Omar berharap  Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu, Datuk Seri Hashim Abdullah tidak mengulangi kesilapan beberapa bekas pengerusi terdahulu.

Beliau mengingatkan Hashim supaya tidak diperalat parti pemerintah demi kepentingan politik mereka dengan melaksanakan reformasi sistem pilihan raya sebaik sahaja menyandang jawatan itu mulai 24 Januari ini.

“Saya tidak mahu Hashim mengulangi kesilapan bekas pengerusi terdahulu yang akhirnya menjejaskan sistem pilihan raya dan prinsip demokrasi negara.

“Hashim kena ingat kesetiaannya hanya kepada negara dan bukan parti politik, sebaliknya  menjunjung ketuanan rakyat dengan  berpegang kepada prinsip keadilan dan memberi  keutamaan kepada rakyat,” katanya kepada Roketkini.

hashim SPRHashim dilapor Bernama, dilantik sebagai pengerusi baharu menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang bersara bulan ini. Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu, sebelum ini ialah timbalan pengerusi suruhanjaya berkenaan.

Tuntutan itu selaras perjuangan gerakan BERSIH 2.0 yang menggesa SPR melaksanakan empat tuntutan bagi melaksanakan reformasi pilihan raya iaitu:

1.  SPR diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dan bertanggungjawab kepada Parlimen, bukannya kepada mana-mana menteri daripada sayap eksekutif.

2. Mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas yang bebas untuk menerima laporan Suruhanjaya secara berkala.

3. Mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa pemilihan SPR ditubuhkan terdiri daripada pemimpin kerajaan dan pembangkang.

4. Menggesa jawatan Penolong Pegawai Pendaftar (Assistant Registration Officer, ARO) dari kalangan parti-parti politik dipulihkan bagi membantu SPR menjalankan pendaftaran dan semakan pemilih.