Berita

TPPA perjudi nasib pekerja tempatan

PETALING JAYA 20 JAN: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dibidas berikutan memperjudi nasib pekerja tempatan dengan memberi hak sama rata kepada pekerja asing melalui perjanjian dengan Kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Walaupun menafikannya, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, kerajaan melalui perjanjian Malaysia-United States Labour Consistency Plan bersetuju antaranya membenarkan pekerja asing menjadi pimpinan tertinggi sesebuah kesatuan pekerja, November tahun lalu.

Sebelum ini, Mustapa dilapor berkata kerajaan bakal meminda beberapa undang-undang termasuk berkaitan hak pekerja asing tetapi menegaskan ia kononnya bukan sama rata seperti hak pekerja tempatan.

“Mengapa kerajaan seolah-olah buat bodoh mengenai isu berkenaan? Sebelum ini, mereka bersetuju tetapi kini kerajaan seolah-olah ‘backtrack’ dengan mengatakan mereka tidak akan letak hak sama rata.

“Adakah kerajaan ditekan kerajaan AS untuk menerimanya? Atau tindakan terburu-buru kerajaan untuk menandatangani TPP, menyebabkan perunding terlepas pandang isu itu?” katanya sambil menyifatkan tindakan bercanggah itu membuktikan kesan TPPA belum dikaji secara terperinci.

Ia antara lima persoalan yang ditimbulkan kepada Mustapa berkaitan kelemahan TPPA pada sidang media dekat sini, hari ini, tambahan kepada lima soalan yang diajukannya semalam.

Charles yang dijangka mengajukan lima soalan lagi esok, berkata kerajaan Malaysia juga bakal kehilangan pendapatan hampir USD$12 billion ekoran pengecualian tarif terhadap pengeksport akibat perjanjian itu.

“Mengikut analisis Price Water House Cooper, negara bakal kehilangan berbillion ringgit daripada perjanjian itu. Bagaimana kerajaan boleh mengatasi ia sekaligus mengembalikan kerugian yang ditanggung?” katanya.

Beliau turut mengkritik tindakan ‘membuta tuli’ Kerajaan Negeri dalam menyokong penuh usaha Kerajaan Persekutuan untuk menandatangani TPPA tanpa membuat kajian terperinci berkaitan kesan terhadap kedua-dua pihak.

“Jika pelabur asing menang kes saman melalui tribunal dan didapati kerajaan negeri bertanggungjawab, adakah kerajaan Persekutuan akan tuntut ganti rugi daripada kerajaan negeri hasil bayaran saman yang ditanggung kerajaan Persekutuan?” katanya.

Justeru, Santiago mencadangkan perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dimeterai bagi memastikan mekanisme hal itu TPPA dilaksanakan dengan telus dan adil bagi kedua-dua pihak.

Beliau turut mempersoal tindakan kerajaan yang bersungguh-sungguh mahu menyertai TPPA, meskipun kegiatan melobi giat dilakukan pihak perubatan di AS berkaitan polisi ubat dalam perjanjian itu.

“Berlaku kegiatan melobi besar-besaran di AS yang dilakukan oleh PhRMA (Pharmaceutical Research and Manufacturers of America), dengan kegiatan ini, adakah kerajaan sedar mengenai kesannya?” katanya.

Mengulas kenyataan Mustapa yang menyatakan kerajaan boleh keluar bila-bila masa jika mendapati perjanjian itu tidak menguntungkan, beliau berkata ia dikhuatiri memberi tanggapan kepada pelabur asing.

“Jika kerajaan keluar serta-merta daripada sesebuah perjanjian, setelah bertahun-tahun melalui proses rundingan dan sebagainya, ia akan menyebabkan negara dipandang serong oleh pelabur serta negara-negara luar,” katanya.-Roketkini.com