Rencana

Menangani kemelut Rohingya

BIARPUN sejauh mana kita melangkah maju, dunia hari ini terus dihadapkan dengan krisis kemanusiaan yang menggemparkan. Di Sudan, Syria dan Sri Lanka hari ini, berjuta-juta insan tidak berdosa terus menjadi mangsa kekejaman dan kezaliman.

Lebih hampir di negara kita, krisis Rohingya di Myanmar kini menular ke negara-negara jiran apabila pelarian melingas-lingas mencari perlindungan daripada penindasan oleh kerajaan mereka. Malah, banyak laporan memetik sumber Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang merujuk kepada Rohingya sebagai antara “minoriti yang paling tertindas di dunia.”[1]

Dikatakan membentuk tujuh peratus daripada keseluruhan penduduk Myanmar, jumlah yang tepat tidak diketahui kerana kerajaan Myanmar yang majoriti Buddha sengaja menyingkirkan minoriti Muslim Rohingya daripada bancian negara.

Sifat parokial yang wujud dalam kegetiran mereka ini sangat menyedihkan, khususnya apabila identiti rantau Asia Tenggara sendiri terkenal dengan kepelbagaian sosial dan budaya yang wujud dalam kalangan penduduknya, baik yang asal mahupun yang pendatang. Malangnya, manakala beratus-ratus kumpulan etnik lain dapat menggelarkan Asia Tenggara sebagai tanah air mereka, Rohingya terus dilayan sebagai penceroboh yang tidak dialu-alukan.

Tidak diterima di negara sendiri yang enggan mengiktiraf mereka sebagai warganegara, dan terdedah kepada penganiayaan dalam bentuk rogol, pembakaran harta, pembunuhan dan rampasan tanah secara besar-besaran, usaha mereka untuk mencari perlindungan di negara-negara jiran juga menemui jalan buntu. Mereka yang berjaya tiba di negara lain pula tidak beroleh kedamaian, sebaliknya dilayan sebagai pendatang haram, dan dalam beberapa kes lebih teruk lagi daripada itu.

Hari ini, dianggarkan 140,000 orang Rohingya, iaitu lebih 10 peratus daripada keseluruhan populasinya, adalah pelarian. Berpuluh-puluh ribu telah melarikan diri ke negara-negara jiran manakala beribu-ribu lagi mengadu nasib di laut dalam kapal penuh sesak.

Lazimnya, pelayaran mereka dianjurkan oleh pedagang manusia yang sebenarnya mencari helah keuntungan daripada “kargo” mereka yang sedia terdesak. Sehingga sekarang, beratus-ratus orang sudah pun dilaporkan terkorban di laut dan mereka yang tidak terkorban pula kekal terperangkap dengan makanan dan air yang sangat terbatas.

Malaysia kini terperangkap di tengah-tengah krisis Rohingya, bukan sahaja sebagai destinasi pelarian, tetapi juga sebagai laluan penyeludupan manusia. Pada awal tahun lepas, pihak berkuasa mengesahkan penemuan mengejutkan 139 kubur besar di 28 kem penyeludupan manusia yang terbiar di Padang Besar dan Wang Kelian yang terletak berdekatan dengan sempadan Thailand.

Kebanyakan kem ini digunakan oleh para pedagang manusia untuk menempatkan pelarian Rohingya yang hanya akan dilepaskan setelah saudara-mara mereka membayar wang tebusan. Tidak mengejutkan, ramai yang mati kerana kebuluran dan penyakit, berdasarkan “beratus-ratus rangka” yang dijumpai dalam kubur-kubur besar tersebut.

Penemuan kem maut ini segera menekankan hakikat bahawa Malaysia bukan pelaku pasif dalam krisis ini, khususnya apabila kebanyakan kem-kem ini dilaporkan telah beroperasi secara bebas untuk sekurang-kurangnya lima tahun.

Adalah mustahil kewujudan sebegitu banyak kem tidak disedari oleh pihak-pihak berkuasa  negara kita. Seperti yang dijangka, siasatan awal dan penangkapan 12 pegawai polis menunjukkan kewujudan jaringan pemerdagangan manusia yang melibatkan pelaku di kedua-dua belah sempadan termasuk persekongkolan pihak agensi penguatkuasaan dan keselamatan sempadan Malaysia.

 

Kelemahan pendekatan semasa

Selain daripada isu-isu keselamatan yang ketara dan masalah pemerdagangan manusia yang menjijikkan, krisis Rohingya juga menyerlahkan kelemahan serius dalam cara Malaysia, dan Asean, menangani pelanggaran hak asasi manusia di negara Asean lain, serta pengurusan dalaman terhadap pelarian.

Pertama, layanan yang diberikan kepada pelarian di negara kita sangat bersifat rambang, dan lazimnya bergantung kepada beberapa faktor seperti negara asal pelarian, latar belakang etnik dan jumlah mereka. Pada akhir 1990, beratus-ratus pelarian Bosnia diberikan suaka dan bantuan kerajaan di Malaysia.

Sebelum itu, kerajaan kita juga membantu menempatkan 10,000 Muslim Kemboja dan 120,000 pelarian Muslim yang melarikan diri dari selatan Filipina. Baru-baru ini, kerajaan kita juga mengumumkan akan menerima 3,000 pelarian Syria.

Malangnya, pelarian Rohingya tidak dialu-alukan dengan layanan yang sama. Malah, apabila kapal-kapal mereka tiba di luar pesisiran pantai kita, mereka pada mulanya tidak dibenarkan untuk mendarat, meskipun sedang berdepan dengan maut.

Dengan jumlah sekitar 100,000 orang di Malaysia, pelarian Rohingya dianggap migran tanpa dokumen, yang bermaksud bahawa mereka tidak dibezakan dengan pendatang haram yang lain. Oleh itu, mereka yang termasuk kanak-kanak ini tidak mempunyai akses sah kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan, sekaligus meningkatkan risiko eksploitasi dan pemerdagangan manusia.

Keadaan ini hanya berfungsi untuk mengekalkan kitaran ganas (vicious cycle). Oleh kerana pelarian dewasa dinafikan pekerjaan yang sah, maka mereka tidak mempunyai cara untuk mendapatkan wang bagi membiayai pelbagai keperluan asas termasuk penjagaan kesihatan, lagi-lagilah apabila kos perkhidmatan kesihatan adalah lebih tinggi untuk warga asing.

Justeru, kebanyakan daripada mereka terpaksa bekerja secara haram, secara lazimnya dalam pekerjaan berisiko tinggi dan bergaji rendah. Tambahan kepada itu, ketiadaan dokumentasi rasmi juga sering mendedahkan mereka kepada pemangsaan oleh pihak-pihak penguatkuasa.

Tanpa undang-undang yang tertib dan tatacara pengendalian standard (SOP) untuk memandu dan mentadbir pengendalian pendatang tanpa izin serta pelarian khususnya, masalah ini jelas akan bertambah teruk. Pada masa ini, hampir 200,000 pelarian dan pencari suaka dari pelbagai negara sedang menetap di Malaysia. Mereka hidup dengan hak-hak yang paling minimum dan ketercapaian yang amat terhad terhadap kemudahan asas.

Jika keadaan ini berlarutan, sudah tentu ia akan mengakibatkan masalah sosio-ekonomi yang ketara, lantas menimbulkan dampak negatif kepada rakyat Malaysia. Sebuah contoh nyata adalah siri pembunuhan ngeri yang berlaku dua tahun lalu di Pulau Pinang apabila kumpulan-kumpulan warga Myanmar telah membunuh sesama sendiri.

Berdepan dengan masalah

Jika kita benar-benar ingin menangani isu pelarian yang kian membimbangkan, maka langkah pertama yang perlu diambil kerajaan adalah untuk mematuhi penanda aras antarabangsa. Sebagai permulaan, kita perlu menandatangani dan meratifikasi Konvensyen Pelarian PBB 1951, iaitu perjanjian pelbagai hala yang diisytiharkan bagi mentakrifkan siapakah itu pelarian, menjelaskan hak-hak mereka, dan juga menentukan tanggungjawab negara-negara yang memberikan suaka.

Konvensyen ini adalah berdasarkan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1949, yang mengiktiraf hak manusia untuk mendapat perlindungan di negara lain bagi mengelak daripada penindasan di negara sendiri.

Setelah ditandatangani dan disahkan, undang-undang tempatan kita pula mesti kemudiannya dipinda untuk memasukkan peruntukan-peruntukan Konvensyen. Tambahan pula, adalah penting bahawa undang-undang kita membuat perbezaan yang jelas antara pelarian, pencari suaka dan pendatang tanpa izin. Di bawah kerangka perundangan sedia ada, mereka semuanya dianggap menyalahi undang-undang dan tertakluk kepada pengusiran, penahanan dan penindasan oleh agensi-agensi penguatkuasa.

Pada masa yang sama, masalah pemerdagangan manusia menuntut satu jawapan segera dan menyeluruh. Integriti sempadan kita perlu diperketatkan, dan kakitangan sedia ada perlu dirombak ekoran pendedahan mengejutkan yang membuktikan kewujudan persekongkolan di antara penyeludup dan pihak berkuasa.

Tindakan keras perlu diambil ke atas mereka yang didapati bersalah, dan langkah-langkah harus dilaksanakan bagi meningkatkan protokol keselamatan dan kaedah pemantauan, termasuk kerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri yang terlibat. Pada masa yang sama, agensi-agensi antarabangsa seperti Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian mesti dijemput serta untuk membantu memantau situasi.

Suka atau tidak, kita juga harus berdepan dengan hakikat bahawa pokok kepada kemelut yang sedang dihadapi ini sebahagiannya berpunca daripada dasar tidak campur tangan Asean. Sikap meremehkan penganiayaan terang-terangan terhadap kumpulan minoriti sebagai “masalah dalaman” bukan sahaja akan membolehkan masalah membarah, tetapi juga akhirnya menyebabkan krisis kemanusiaan yang merebak ke negara-negara jiran, sepertimana yang dibuktikan dalam kes Myanmar.

Jelas, krisis Rohingya tidak akan selesai sekiranya ia terus dilihat sebagai satu masalah terpencil. Sebaliknya, strategi pelbagai hala dan perbincangan secara langsung dengan Myanmar menerusi Asean diperlukan untuk mengatasi masalah ini pada puncanya. Sekurang-kurangnya, pendekatan sebegini pernah membuahkan hasil semasa peristiwa Ribut Nargis 2008, apabila penglibatan konstruktif melalui Asean telah meyakinkan Myanmar untuk membenarkan pengagihan bantuan oleh negara-negara lain, setelah kerajaan junta tentera menolak semua bantuan antarabangsa yang ditawarkan sebelum itu.

Dialog diplomatik yang tegas merupakan kaedah yang paling afdal berbanding sekatan ekonomi atau pengasingan diplomatik. Lagipun, perubahan politik yang besar dalam pilihan raya umum di Myanmar baru-baru ini menandakan permulaan proses pendemokrasian secara serius. Perkembangan ini harus digunakan sebagai rangsangan untuk menggapai kemajuan dalam hak asasi.

Sehubungan dengan itu, Asean juga perlu beralih daripada dasar tidak campur tangan, khususnya dalam menghadapi pencabulan hak asasi manusia yang terang-terangan sebegini. Dalam usaha ini, Malaysia harus memainkan peranan peneraju utama dengan mengorak langkah dan mengajak Myanmar ke meja rundingan untuk menangani penindasan minoriti di negara mereka. Sementara itu, usaha bersepadu diperlukan dalam perang melawan pemerdagangan manusia yang semakin parah di rantau ini.

Pada akhirnya, tidak boleh ada sebarang kompromi dalam usaha mempertahankan kemanusiaan. Sebagaimana yang diujar tokoh kebebasan yang terulung, Nelson Mandela: “Menafikan hak asasi manusia bererti meragut kemanusiaan mereka.”

 

 

* Zairil Khir Johari ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera