Berita

Biasiswa JPA: Pendidikan jadi mangsa tangani ketirisan

KUALA LUMPUR 21 JAN: Kerajaan Persekutuan jangan mengorbankan tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semata-mata untuk mengurangkan perbelanjaan negara sebaliknya perlu menangani ketirisan, rasuah dan salah urus tadbir.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata mahasiswa tidak seharusnya menjadi mangsa pelakuan rasuah dan ketirisan dalam sektor kerajaan kerana beratus-ratus pelajar cemerlang akan hilang peluang belajar di universiti pilihan.

“Keputusan Kabinet itu dikatakan memberi kesan kepada 700 pelajar dalam dan luar negara, ini sangat mendukacitakan dan tidak boleh diterima.

“Jika benar kekangan kewangan merupakan faktor utama pemberhentian tajaan, ia bermakna Perdana Menteri gagal menguruskan ekonomi dan kewangan negara dengan baik,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, media tempatan melapor tajaan biasiswa JPA untuk mahasiswa peringkat sarjana muda dan biasiswa untuk pelajar program pra-universiti bagi tahun 2016 akan digantung ekoran pengurangan pendapatan negara.

Beliau yakin faktor dalaman sebagai punca utama masalah ekonomi negara walaupun tidak menafikan pengaruh faktor luaran seperti kejatuhan harga minyak dunia, kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan kelembapan ekonomi China.

“Skandal derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri dan skandal 1MDB yang belum selesai antara punca kehilangan keyakinan pelabur dalam negara, lantas menyebabkan kejatuhan ketara nilai mata wang ringgit.

“Adakah ini yang diuar-uarkan sebagai ‘Najibnomics’?” katanya sambil menambah pelbagai langkah boleh diambil bagi mengurangkan perbelanjaan termasuk pemotongan peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang kian melampau berbanding memangsakan mahasiwa.

“Peruntukan JPM dalam Bajet 2016 sebanyak RM20.3 bilion manakala jumlah wang diperuntuk bagi biasiswa JPA hanyalah RM1.6 bilion setelah dikurangkan dari RM1.93 bilion pada 2015.

“Masakan dana tidak boleh disalur JPM bagi membiayai biasiswa JPA? Lagipun, bukankah Najib membuktikan betapa senangnya memperoleh wang derma RM2.6 bilion?” kata Zairil yang juga Jurucakap Parlimen DAP untuk Sains, Teknologi dan Pendidikan itu, dengan nada sinis.

Zairil turut mencadangkan pemansuhan program tertentu dan pengamalan dasar tender terbuka bagi semua perbekalan dan pemerolehan kerajaan selain mengatasi amalan penyelewengan dan rasuah yang sering dibongkar media.

“Program seperti Jabatan Hal Ehwal Negara, Biro Tatanegara, TalentCorp dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak perlu buat masa ini. Bilangan menteri hampir 70 orang juga tidak relevan dan harus dirasionalisasi.

“Kerajaan dijangka menjimatkan lebih RM30 bilion melalui pelan penyusunan semula dan langkah pembasmian rasuah, seperti dinyatakan dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2016 Oktober tahun lalu.

“Justeru, peruntukan kritikal seperti tajaan pendidikan patut ditingkat lagi, bukannya dikurangkan kerana peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi juga mengalami pemotongan RM2.4 bilion tahun ini,” katanya. -Roketkini.com