Berita

Kenaikan harga dijangka berulang tahun ke tahun

KUALA LUMPUR 21 JAN: Fenomena kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan di negara ini dijangka berulang pada tahun seterusnya sekalipun rantaian kos bahan mentah, mencatat penurunan.

“Kalau harga minyak naik, harga makanan juga naik tetapi jika harga minyak turun selepas kenaikan itu, agak sukar untuk melihat harga barangan turun walaupun harga minyak jatuh,” kata Ketua Biro Ekonomi Sosialis Muda DAP (DAPSY), Raja Ahmad Iskandar Fareeznya.

Beliau menyalahkan dasar ‘separuh ‘masak’ kerajaan UMNO BN kerana menjadi punca yang mengakibatkan kenaikan peratusan Indeks Harga Pengguna (CPI) mengikut data Jabatan Perangkaan, semalam.

Jabatan Perangkaan itu antaranya menyatakan harga barangan dan perkhidmatan naik 2.7 peratus, manakala kos makanan dan minuman bukan alkohol naik 4.6 peratus.

Turut mengalami kenaikan ialah sektor kesihatan sebanyak 4.6 peratus serta penyelenggaraan isi rumah meningkat sebanyak 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya

Raja Ahmad Iskandar berkata, kenaikan harga tol sekitar Lembah Klang dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) antara faktor penyumbang utama berlaku kenaikan peratusan CPI itu.

“Pengusaha kilang air berkarbonat misalnya, terpaksa menaikkan harga barangan kerana terpaksa menanggung kos lain untuk memproses produk,i contohnya label caj GST,” katanya kepada Roketkini.

Selain itu, Raja Ahmad Iskandar berkata, kejatuhan harga ringgit berbanding dolar Amerika sejak beberapa bulan lalu dipercayai turut menyumbang kepada kenaikan peratusan CPI berkenaan.

“Kejatuhan harga ringgit pula mengakibatkan peniaga terpaksa mengambil bahan import hingga mengalami kenaikan kos hasil kejatuhan itu, mengakibatkan harga produk meningkat,” katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengkaji secara terperinci kesan yang ditanggung rakyat akibat pelaksanaan dasar ekonomi bagi mengelakkan terjadi peningkatan berterusan kos pelbagai barangan dan perkhidmatan. -Roketkini.com