Berita

Potong 50 peratus peruntukan JPM tampung biasiswa JPA

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke mencadangkan kerajaan Persekutuan mengurangkan 50 peratus perbelanjaan  JPM bagi menampung perbelanjaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Jika ada peruntukan yang perlu dipotong atau dikurangkan, Perdana Menteri harus menunjukkan teladan dengan mengurangkan peruntukan sedemikian,” katanya pada kenyatan media, hari ini.

Beliau berkata,  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga perlu menghenti ‘perbelanjaan mengikut budi bicaranya’ dan perbelanjaan tanpa program khusus dalam peruntukan RM3.75 bilionpada Bajet 2016 .

Katanya, ia membabitkan peruntukan sektor Penyusunan Semula Masyarakat (RM750,000), Program Pembangunan (RM610,001,100), Projek Kerajaan Elektronik (RM754,360,000), Projek Khas (RM309,439,800) dan Projek Mesra Rakyat (RM1,332,000,000)

Beliau juga mendesak kerajaan Persekutuan supaya memberi penjelasan lanjut mengenai kriteria tertentu hingga menyebabkan 700 pelajar terjejas untuk melanjutkan pengajian.

“Kebanyakan penerima biasiswa JPA adalah pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah. Tanpa biasiswa itu, kemungkinan besar mereka tidak dapat meneruskan pengajian khususnya di universiti luar negara,” katanya.

Cadangan itu dbuat berikutan Kerajaan UMNO BN itu mahu memotong RM278,434,000 hingga  mengakibatkan  700 daripada 11,604 pelajar cemerlang terjejas untuk meneruskan pengajian dalam dan luar negara.

Peruntukan untuk tajaan biasiswa JPA bagi 2016 sebanyak RM1.65 billion, susut 14 peratus berbanding tahun lalu.

Sedangkan, peruntukan JPM melonjak hingga mencecah tujuh peratus daripada keseluruhan buat pertama kali dalam sejarah tanah air iaitu 7.6 peratus (2016) berbanding 6.96 peratus (2015), 6.23 peratus (2014), 5.24 peratus (2013), 5.38 peratus (2012), 6.74 peratus (2011), 6.37 peratus (2010) , 6.71 peratus (2009), 3.4 peratus  (2008) dan 3.81 peratus (2007) . -Roketkini.com