Berita

Najib ulangi taktik rampasan kuasa di Perak dalam UMNO Kedah?

RAUB 21 JAN: Cara UMNO pimpinan Datuk Seri Najib Razak menangani konflik politik dalaman di Kedah mirip rampasan kuasa di Perak pada 2009, kata Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

“Mereka cuba rampas kuasa tanpa melalui usul tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini cara samseng dan haram,” kata Ahli Parlimen Taiping itu sambil menyifatkan rampasan kuasa itu bertujuan mendiamkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, ia juga membuktikan UMNO mementingkan kuasa dari kebajikan rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi, antaranya pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pembatalan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Seramai 14 daripada 15 ketua UMNO bahagian negeri itu mengisytihar hilang kepercayaan kepada kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada Februari 2009, negara dikejutkan dengan Krisis Perlembagaan Perak berikutan perbuatan pimpinan UMNO menggunakan seluruh instrumen kerajaan termasuk ‘membeli’ Adun tertentu bagi merampas kuasa melalui pelakuan samseng dalam DUN negeri itu.

Menegaskan tidak berminat mencampuri urusan parti itu, Ahli Jawatankuasa DAP Pahang, Datuk Ariff Sabri pula berkata segala yang berlaku dalam UMNO sekarang bukan sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, pertelingkahan serius dalam UMNO Kedah mencerminkan budaya kanibalisme yang diamal pimpinan UMNO untuk menangani masalah dalaman parti dengan membelakangkan mandat rakyat.

“Amalan politik kanibal dalam UMNO adalah normal bagi mereka. Semua itu tidak akan berlaku tanpa sokongan ‘RM2.6 billionaire’ itu,”  kata Ahli Parlimen Raub dalam di blognya. -Roketkini.com