Berita

Tindakan polis tahan Rafizi langkau Parlimen

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengarahkan anggotanya menahan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ketika persidangan Dewan Rakyat masih berbaki dua hari, dikecam Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Menyifatkan tindakan Khalid itu seolah-olah tidak menghormati serta melangkaui Parlimen, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut mempersoalkan tindakan tergesa-gesa yang dilakukan polis terhadap Naib Presiden PKR itu.

“Persoalan mengenai sama ada polis patut dan boleh menahan Rafizi kerana dituduh melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) adalah soalan yang berbeza dan jatuh kepada persoalan kedua.

“Mengapa tidak Rafizi ditahan selepas penangguhan sidang Parlimen esok?” Soalnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Semalam, Rafizi ditahan polis di luar pagar Parlimen mengikut seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi ekoran daripada pendedahannya pada bulan lalu mengenai perkaitan antara Lembaga Angkatan Tentera dan syarikat sarat hutang dan skandal, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas lanjut, Kit Siang menjelaskan, pada awal sidang Dewan Rakyat berlangsung, satu resolusi sebulat suara telah diluluskan di Parlimen bagi mengarah Ketua Polis Negara untuk memastikan tiada halangan keluar masuk Dewan Rakyat dikenakan terhadap setiap ahli Parlimen sepanjang hari persidangan.

“(Tetapi) sekarang Ketua Polis Negara sendiri yang menghalang ahli Parlimen dari menghadiri dua persidangan terakhir Parlimen dengan “menyerang hendap” dan menangkap Rafizi di luar pagar Parlimen semalam.

“Dan ini bukanlah isu partisan, yang menjejaskan ahli Parlimen dari PKR atau Pakatan Harapan sahaja, tetapi isu ini menjejaskan keistimewaan Parlimen untuk setiap ahli Parlimen, tanpa mengira sebarang latar belakang parti politik,” tegasnya.

Sehubungan itu, Kit Siang yang digantung Parlimen sejak 22 Oktober tahun lalu itu menggesa supaya Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia masuk campur dan mempertahankan hak keistimewaan yang ada pada setiap ahli Parlimen untuk hadir melaksanakan tugas yang diamanahkan rakyat tanpa gangguan dan halangan. – Roketkini.com