Berita

Jika BN menang besar, tiada kenaikan royalti minyak Sarawak

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Dakwaan Barisan Nasional bahawa rakyat Sarawak perlu mengundi ‘Team Adenan’ untuk mempertahankan hak dan autonomi Sarawak hanyalah mitos semata-mata, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, Tan Sri Adenan Satem selaku Ketua Menteri Sarawak telah gagal memujuk kerajaan Persekutuan menaikkan royalti minyak untuk negeri tersebut dari lima peratus kepada 20 peratus.

Jelas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam telah menegaskan bahawa royalti minyak untuk Sarawak kekal 5 peratus, dan Adenan pula tidak membantah keputusan itu.

Menurutnya, ini menunjukkan Adenan terhutang budi dengan Najib kerana melantiknya sebagai Ketua Menteri Sarawak.

“Adenan sebelum ini telah membalas jasa Najib dengan menyokong pelaksanaan cukai GST di Sarawak dan mengarahkan kesemua ahli parlimen BN Sarawak menyokong Akta GST di Parlimen.

“Najib sangat yakin bahawa Adenan setia menyokongnya sehingga terang-terangan menolak permintaan rakyat Sarawak untuk menaikkan royalti minyak kepada 20 peratus.

“Tidak hairanlah Najib kini berusaha keras untuk memastikan kemenangan besar untuk ‘Team Adenan’ kerana ‘Team Adenan’ sebenarnya adalah ‘Team Najib’,” katanya dalam satu kenyataan media.

Najib enggan menaikkan royalti minyak untuk Sarawak dengan memberi alasan kejatuhan harga minyak dunia walaupun Sarawak sebagai negeri pengeluar utama patut mendapat sebahagian hasil daripada sumber asli itu.

Guan Eng berkata, rakyat Sarawak tidak boleh mempercayai kembar siam ‘Team Najib/Adenan’ kerana kemenangan mutlak mereka akan membawa kepada kuasa mutlak yang dikhuatiri akan lebih mencabuli hak rakyat.

“Kita sendiri tahu rekod buruk penyalahgunaan kuasa oleh mereka, terutama skandal menjual tanah beribu-ribu ekar – bukan kepada rakyat biasa Sarawak tetapi kepada ‘orang kenamaan.’

“Mengundi untuk ‘Team Najib/Adenan’ bermaksud menerima pembayaran GST, menyokong royalti minyak tidak akan dinaikkan kepada 20 peratus dan juga menyokong semua skandal tanah dan kewangan seperti RM50 bilion 1MDB dan skandal derma RM2.6 bilion.

“Atas sebab itulah, rakyat Sarawak perlu mengundi DAP untuk menafikan majoriti dua pertiga BN dalam kerajaan negeri supaya hak Sarawak dapat dilindungi daripada terus dicabuli ‘Team Najib/Adenan’,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling bersama empat calon DAP yang bertanding di kawasan Sibu sebulat suara berpendapat bahawa keputusan kerajaan Persekutuan itu membuktikan kegagalan Adenan dalam memperjuangkan autonomi Sarawak.

“Adenan tidak dapat jelaskan autonomi jenis apa yang beliau perjuangkan untuk Sarawak. Sebaliknya, DAP telah menuntut kenaikan royalti minyak dari lima peratus kepada 20 peratus sejak tahun 1996.

“Walaupun kenaikan royalti itu disokong oleh semua ahli pembangkang dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada tahun 2014, Adenan nampaknya gagal mempertahankan keputusan kerajaan negeri untuk mendesak Najib menaikkan royalti tersebut,” kata mereka dalam satu kenyataan media bersama.

Empat calon DAP tersebut adalah calon bagi DUN N51 Bukit Assek, Irene Chang Oi Ling; N53 Bawang Assan, Chiew Sung Ngie; N54 Pelawan, David Wong Kee Woan dan N52 Dudong, Yap Hoi Liong. – Roketkini.com