Berita

Kerajaan digesa lebih cekap proses permohonan kewarganegaraan

KEPALA BATAS, 23 MEI: Kerajaan Persekutuan digesa mengambil pendekatan yang lebih cekap dan berperikemanusiaan dalam memproses permohonan kewarganegaraan di negara ini berikutan banyak kes yang belum diluluskan walaupun menepati syarat dan prosedur ditetapkan.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P. Ramasamy, berkata kerajaan patut memandang serius masalah yang dihadapi pemohon serta tidak melambat-lambatkan permohonan mereka dengan karenah birokrasi yang rumit.

“Sebagai contoh, terdapat pemohon dari luar bandar serta pedalaman yang tidak mengetahui kedudukan ibu bapa kandung mereka lalu tidak dapat mengemukakan bukti yang mencukupi. Kerajaan sepatutnya memudahkan proses permohonan mereka.

“Selain itu, saya mencadangkan agar pemohon kewarganegaraan yang berusia lebih 50 tahun dan mempunyai anak-anak yang memiliki taraf warganegara haruslah diberi kewarganegaraan secara automatik.

“Jabatan Pendaftaran Negara juga perlu melantik kakitangan yang boleh bertutur dan berurusan dengan pemohon-pemohon Cina dan India yang sudah lanjut usia dan kurang berpendidikan agar proses permohonan mereka lebih lancar,” katanya semasa berucap di majlis perasmian Program Kewarganegaraan Kerajaan Pulau Pinang di kawasan sini, semalam.

Beliau yang juga Adun Perai berkata, ramai individu yang lahir atau telah lama menetap di Malaysia masih belum memiliki taraf kewarganegaraan dan ia menyebabkan mereka menghadapi pelbagai masalah, termasuk penafian hak dan keperluan asasi.

“Kami mendapati bahawa kadar pemprosesan permohonan kewarganegaraan di Jabatan Pendaftaran Negeri dan di Putrajaya adalah sangat perlahan.

“Kanak-kanak tanpa kerakyatan tidak dapat bersekolah. Individu dewasa pula tidak dapat memiliki lesen memandu, pasport, tidak boleh mendaftar perkahwinan, tidak dapat membuka akaun bank serta dinafikan hak mengundi.

“Mereka juga tidak boleh mendapat pekerjaan yang sah di sektor kerajaan ataupun sektor swasta serta tidak akan memperolehi manfaat pekerja yang sah seperti simpanan KWSP dan PERKESO,” katanya.

Selain itu, tambah Ramasamy, kebanyakan dari mereka terdiri daripada golongan miskin yang sukar memperoleh bantuan kebajikan atau bantuan-bantuan lain dari kerajaan jika tidak diiktiraf sebagai warganegara.

Atas sebab itu, beliau menjelaskan bahawa kerajaan Pulau Pinang telah melaksanakan Program Kewarganegaraan Kerajaan Negeri sejak 1 Februari 2013 bagi membantu golongan terpinggir berkenaan membuat permohonan secara sah dan lengkap di jabatan-jabatan pendaftaran negeri.

Malah, katanya, ia juga bertujuan bagi memastikan bahawa pemohon-pemohon menyediakan semua dokumen yang diperlukan serta membantu mereka yang kurang berpendidikan untuk berunding dan melaksanakan tindakan susulan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara.

“Program ini telah berjaya membantu beberapa kanak-kanak tanpa kerakyatan untuk didaftar dan dimasukkan ke sekolah.

“Malah, sehingga kini, 654 individu telah dibantu agar dapat memperolehi taraf kewarganegaraan atau dalam perkhidmatan-perkhidmatan lain,” kata Ramasamy yang juga penyelia program tersebut. – Roketkini.com