Berita

Adun DAP digantung sidang DUN Pahang kerana tanya sama ada pilihanraya bersih, adil

KUANTAN, 24 MEI: Adun Bilut, Chow Yu Hui, dihalau keluar dari Dewan Undangan Negeri Pahang semalam dan digantung kehadirannya hari ini, semata-mata kerana mempersoalkan kerajaan sama ada pilihanraya di Malaysia adalah adil dan bersih.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Pahang kesal dengan tindakan Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad, yang menghalau dan menggantung beliau sedangkan apa yang disuarakannya adalah tanggungjawabnya sebagai seorang wakil rakyat.

Sewaktu sidang DUN Pahang semalam, Yu Hui yang mengikut prosedur peraturan mesyuarat telah bangun meminta penjelasan sewaktu penggulungan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, yang mengatakan pembangkang tidak pernah menyokong cukai barangan dan perkhidmatan (GST) walaupun ia telah dilaksanakan di 160 negara.

Soalan yang ditanyakan Yu Hui adalah: “(Jika) semua 160 negara yang mengamalkan GST mengamalkan pilihan raya yang bersih dan adil, mengapa Malaysia tidak amalkan?”

Semata-mata kerana soalan tersebut, Adun DAP itu dipaksa menarik balik pertanyaan tersebut tetapi beliau enggan tunduk kepada paksaan itu.

Menjelaskan kepada Roketkini, Yu Hui berkata, sekiranya mana-mana Adun tidak bersetuju dengan kenyataannya itu, ia haruslah didebatkan, dan bukannya menutup mulut wakil rakyat.

“Dengan merujuk peraturan 36(4), 36(6) dan 36(7), saya diminta tarik balik kenyataan oleh Yang Dipertua Dewan. Saya tidak berpuas hati dan sekali lagi enggan tarik balik.

“Saya cuma bersuara tentang sistem pilihanraya, dan tidak pernah guna bahasa biadap ataupun mengeluarkan sangkaan jahat pada ahli lain,” katanya.

Ekoran keputusan yang diambil Speaker Dewan itu semalam, beliau berkata, semua Adun pembangkang dilihat meninggalkan dewan.

“Untuk itu, saya berterima kasih kepada rakan Pakatan Harapan yang menunjukkan solidariti dan keluar dewan bersama-sama,” tambahnya.

Ditanya sama ada akan terus membangkit isu berkenaan, Yu Hui berkata bahawa jika Barisan Nasional terus menggunakan logik yang sama – oleh kerana 160 negara melaksanakan GST, maka Malaysia perlu ikut sama – beliau juga menggunakan logik di mana Malaysia perlu melaksanakan pilihanraya bersih dan adil kerana 160 negara telah melaksanakannya. – Roketkini.com