Berita

DAP seru penegasan, pengggubalan undang-undang khas tangani pornografi kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Semua pihak terutama kerajaan perlu memandang serius isu pornografi kanak-kanak dengan memastikan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dilaksanakan bagi menangani masalah itu di negara ini.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, walaupun Akta Kanak-Kanak telah diperkenalkan sejak tahun 2001, bilangan pesalah yang didakwa di bawah akta tersebut amat kurang, lantas menunjukkan bahawa terdapat masalah dari sudut penguatkuasaan undang-undang.

Tambahnya, ia dibuktikan lagi dengan kes melibatkan warga British, Richard Huckle yang dipercayai telah melakukan serangan seksual terhadap 23 kanak-kanak daripada keluarga miskin di Malaysia.

“Richard Huckle telah memanipulasi kanak-kanak secara seksual sejak tahun 2006 lagi, namun ia berlaku tanpa kesedaran polis atau mana-mana pihak berkuasa. Ia jelas menunjukkan pelaksanaan undang-undang, terutama yang melibatkan kanak-kanak begitu lemah,” katanya.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP menjelaskan, satu undang-undang khusus berhubung pemilikan dan pengedaran pornografi kanak-kanak juga mesti digubal agar hukuman spesifik dapat dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

Setakat ini, Malaysia tidak mempunyai undang-undang tertentu yang menyatakan memiliki bahan pornografi kanak-kanak adalah satu kesalahan.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid pula berkata mekanisme sedia ada yang kurang berkesan dan aliran bidang kuasa undang-undang yang kurang jelas merupakan punca utama masalah itu berlaku.

Tambahnya, bahan-bahan berunsur lucah terlalu mudah didapati di negara ini, terutama melalui laman web dan aplikasi telefon bimbit seperti Telegram dan Whatsapp yang membolehkan video dan gambar lucah mudah diedarkan oleh sesiapa sahaja.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam membanteras sebarang jenayah melibatkan kanak-kanak kerana mereka merupakan tanggungjawab masyarakat yang harus dilindungi,” ujarnya.

Menurut Syerleena yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Wanita Kebangsaan, satu sesi perbincangan berhubung hak kanak-kanak yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang telah berlangsung di Komtar semalam bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Baru-baru ini, akhbar The Star melaporkan bahawa Malaysia berada di kedudukan ketiga di rantau Asean dalam hal-hal berhubung pemilikan dan pengedaran pornografi kanak-kanak.

Ketua Unit Siasatan Seksual Bukit Aman, Tan Gee Soon dilaporkan berkata maklumat berkenaan diperoleh daripada sumber polis antarabangsa. – Roketkini.com