Berita

Kerajaan Pulau Pinang sumbang ‘duit raya’ RM20 ribu kepada PDRM, ATM

*kredit foto Buletin Mutiara

GEORGE TOWN, 28 JUN: Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyerahkan sumbangan sebanyak RM20 ribu kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, sumbangan yang diberikan masing-masing berjumlah RM10 ribu kepada PDRM dan ATM itu adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus menjaga ketenteraman dan kesejahteraan awam di negara ini.

“Sumbangan dan jasa mereka tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan keselamatan awam. Bagi pihak kerajaan negeri, kerjasama penuh akan diberikan bagi memastikan Pulau Pinang bukan sahaja bersih, hijau dan sihat, malah selamat.

“Kerajaan negeri mempertaruhkan kepercayaan penuh kepada anggota keselamatan dan berharap sambutan Aidilfitri tahun ini diraikan dengan penuh meriah, ceria dan selamat,” kata Setiausaha Agung DAP itu pada sidang media di Komtar, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab yang menjadi wakil PDRM bagi menerima sumbangan berkenaan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengambil berat terhadap pasukan polis seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Bagi tahun ini, cuti anggota trafik turut dibekukan dan kami (PDRM) juga telah mengatur strategi bagi menjaga keselamatan serta lalulintas di bahagian pulau dan Seberang Perai,” katanya di majlis tersebut.

Pada masa sama, wakil dari ATM, Leftenan Kolonel Mohd. Yusoff Nor yang merupakan Ketua Staf Markas 6 Briged mengucapkan rasa syukur di atas sumbangan berkenaan.

“Ia merupakan satu sumbangan yang membantu pihak tentera meraikan lagi Aidilfitri dan juga mengenang jasa-jasa anggota ATM yang bertugas di sini.

“Saya mewakili pasukan ATM mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan negeri Pulau Pinang terutamanya Ketua Menteri,” ujarnya.

Turut hadir di majlis pemberian cek sumbangan itu ialah Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr. P. Ramasamy; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai. – Roketkini.com