Berita

DAP putuskan Guan Eng kekal SU Agung, terus terajui Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hari ini sebulat suara memutuskan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan terus memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung parti itu memandangkan dua dakwaan rasuah yang dikenakan terhadapnya bermotif politik semata-mata.

Menurut Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, kedua-dua dakwaan rasuah ke atas Guan Eng tersebut, masing-masing di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 di bawah Kanun Keseksaan, adalah tidak berasas, berniat jahat dan merupakan penganiayaan politik.

“Oleh itu, tidak ada sebab mengapa Guan Eng perlu bercuti dari jawatannya sebagai Setiausaha Agung atau Ketua Menteri Pulau Pinang kerana tidak wujud konflik kepentingan dan beliau tidak mempunyai kuasa mempengaruhi atau mengawal proses pendakwaan.

“Malah, CEC juga berpendapat bahawa dakwaan tersebut langsung tidak mempunyai asas dan hanyalah satu taktik jahat untuk menumbangkan Ketua Menteri Pulau Pinang yang dilantik secara demokratik serta mengkucar-kacirkan DAP,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di ibu pejabat DAP tadi.

zairilDalam pada itu, jawatankuasa tersebut turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakyat Malaysia yang menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Guan Eng dan DAP atas penganiayaan politik yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional.

“Satu jawatankuasa kebangsaan bagi kempen “Support, Sympathy and Solidarity with Lim Guan Eng” (SSS) telah dibentuk agar ketidakadilan yang berlaku terhadap Guan Eng dan DAP dapat disuarakan dengan lebih lantang oleh semua pihak,” jelas Kok Wai.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke dengan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari sebagai Setiausaha dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching sebagai Bendahari.

Anthony yang turut hadir pada sidang media berkenaan menegaskan bahawa taktik kotor yang dimainkan oleh BN bagi memecah-belahkan pakatan pembangkang itu hanya menguatkan lagi Pakatan Harapan.

Ia jelas dibuktikan dengan sokongan tidak berbelah bahagi dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) kepada Guan Eng sejak beliau ditangkap atas dua dakwaan tersebut pada 29 Jun lalu.

Guan Eng yang didakwa di Mahkamah Tinggi di George Town semalam berkata beliau akan membiarkan DAP membuat keputusan mengenai sama ada beliau perlu berundur daripada jawatannya. – Roketkini.com