Berita

Apa perkembangan siasatan samseng UMNO?

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur menerima kunjungan Ahli-ahli Parlimen DAP Wilayah Persekutuan semalam bagi membincangkan beberapa isu melibatkan jenayah domestik dan ancaman pengganas.

Pertemuan dan perbincangan dua hala antara DAP dan PDRM yang diwakili Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh itu antara lain membangkitkan kebimbangan terhadap insiden keganasan oleh samseng UMNO yang berlaku di pekarangan Ibu Pejabat DAP 12 Julai lalu.

Menurut Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, kertas siasatan telah pun dibuka dan pihak polis masih belum membuat sebarang tangkapan terhadap mana-mana individu yang terlibat.

dap kl“Hingga masa ini, tiada tangkapan dibuat. Datuk Amar menjelaskan bahawa satu kertas siasatan telah pun dibuka dalam kes ini.

“Kita juga mengingatkan beliau berhubung satu lagi insiden yang hampir serupa pada 22 Mei 2014 yang mana pendemo bertindak kasar dan ganas dengan ucapan berbaur ugutan,” kata Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan itu.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada sebarang tindakan diambil pihak polis terhadap individu yang bertindak ganas dalam kekecohan dua tahun lalu itu walaupun polis menjalankan siasatan.

Selain Kok Wai, hadir sama dalam pertemuan ini ialah Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Sun Sim, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Ketua Wanita DAP Wilayah Persekutuan Sally Sean dan wakil DAPSY Wilayah Persekutuan Edmund Teoh.

 

Jenayah Kuala Lumpur meningkat enam peratus

Dalam perkara berkaitan, Datuk Amar mendedahkan wujud peningkatan enam peratus jenayah domestik terutamanya kes ragut berbanding kejadian curi kenderaan yang mencatatkan sedikit penurunan.

Beliau juga berkata pihak polis sedia untuk mengekang dan membanteras kegiatan pengganas yang menggugat keselamatan rakyat dan negara.

Justeru, bagi meningkatkan keselamatan di ibu kota, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, mencadangkan supaya pihak polis meningkatkan lagi rondaan di kawasan tumpuan ramai.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim pula mahu supaya hubungan rakyat dan polis dipererat dalam membanteras sebarang bentuk jenayah khususnya dalam kawasan kejiranan.

Bimbang dengan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ramai di ibu kota, Ahli Parlimen Lim Lip Eng berkata adalah menjadi tanggungjawab sebagai ahli parlimen untuk menyuarakannya di dalam dewan.

“Saya difahamkan Datuk Amar bahawa pusat-pusat tahanan imigresen bagi pendatang asing tanpa izin penuh sesak dan tidak cukup. Kita akan suarakan supaya kerajaan menyelesaikan perkara ini dengan baik,” ujarnya.

Seramai 8,000 anggota polis berkhidmat bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan sejumlah 1,500 anggota di ibu pejabat manakala selebihnya berkhidmat di lima daerah polis yang lain. – Roketkini.com