Rencana

Di sebalik 1MDB, skandal lain sedang berlangsung

Sudah lebih semingu butiran skandal 1MDB didedahkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat. Dalam ayat Andrew McCabe yang merupakan Timbalan Pengarah FBI, menurutnya “rakyat Malaysia ditipu hidup-hidup”. Penipuan berskala antarabangsa yang melibatkan pelbagai syarikat itu dikaitkan dengan “Malaysian Official 1 (MO1)” dan rakan perniagaan malah ahli keluarganya.

Namun, sehingga kini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahidi Hamidi terus membisu. Beberapa pimpinan UMNO sudah tampil menafikan bahawa MO1 adalah Najib. Dalam bahasa UMNO, tindakan itu ibarat penyataan kesetiaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zahid mengambil pendekatan lebih tenang dengan berdiam diri. Tapi sikap itu tidak datang dari percubaan untuk menunjukkan karisma sebagai Pegawai Nombor Dua tertinggi kerajaan.Diam Zahid bukan kosong. Saat perhatian kita tertumpu kepada isu 1MDB dan watak-watak yang terlibat, perancangan halus untuk mengutip setiap sen daripada wang pembayar cukai di negara ini melalui agensi kerajaan sedang berlangsung. Kutipan itu tak lain bakal mengisi kantung syarikat yang dipercayai dikuasai atau mempunyai kepentingan dengan kroni Barisan Nasional.

Awal tahun ini, rakyat digemparkan dengan perancangan UMNO-BN untuk membawa masuk berjuta-juta warganegara Bangladesh kononnya demi memenuhi keperluan pelbagai sektor. Ramai pihak menyatakan bantahan. Meski Zahid kemudian telah menangguh pengambilan itu, tidak dapat tidak buat kita tertanya sektor apa yang dimaksudkan yang memerlukan begitu banyak tenaga pekerja asing ketika puluhan ribu warganegara kita sendiri terpaksa diberhentikan akibat nilai ringgit jatuh.

Ada suara-suara mendakwa bahawa ahli keluarga Zahid mempunyai kepentingan dalam syarikat yang akan mengendalikan kemasukan pekerja-pekerja asing berkenaan. Kalau benar, tak ada apa-apa yang menghairankan kerana Zahid cuma meniru skrip klasik pemimpin UMNO-BN.

Pemanipulasian Jabatan Imigresen sebagai agensi kerajaan oleh regim UMNO-BN tidak habis di situ. Pemberian kontrak sistem Imigresen dilakukan tanpa melalui tender terbuka kepada tujuh buah syarikat yang beberapa di antaranya dikenal pasti mempunyai rekod buruk dan bermasalah.
MyEg misalnya yang dilantik pada Januari 2015 sebagai pengendali operator pembaharuan permit Pas Lawatan Pekerja Sementara (PLKS) telah didapati melanggar undang-undang apabila membenarkan pembaharuan hampir 9,000 pekerja asing. Jumlah itu hanya untuk 2013 dan 2014.

Kerajaan membelanjakan hampir RM10 bilion sejak pelantikan tujuh syarikat terbabit dari Januari tahun lalu sehingga April tahun ini bagi memastikan sistem Imigresen berjalan lancar. Namun, jumlah itu nampaknya tidak cukup untuk mengelakkan sistem Imigresen diceroboh sehingga menyaksikan ratusan ribu warga asing masuk ke negara ini tanpa rekod sah.

Tiada seorang pun pemimpin UMNO-BN yang tampil mengecam penyelewengan tersebut. Masing-masing berdiam diri jaga periuk sendiri. Tidak Zahid sekalipun yang merupakan Menteri Dalam Negeri yang antara lain tugasnya memastikan kedaulatan negara tidak diceroboh oleh musuh-musuh dari dalam. Sama ada skandal 1MDB yang dipalitkan pada Najib Razak sebagai MO1 bakal membuatkan Perdana Menteri itu melepaskan jawatan, susah untuk diteka. Najib seakan-akan kebal dari undang-undang setakat ini. Tapi jika beliau melepaskan jawatan, adakah kita rela pemimpin seperti Zahid Hamidi sebagai pengganti?

Menggantikan Najib Razak dengan Zahid Hamidi ibarat menggantikan tayar kereta yang bocor dengan tayar bocor yang sama. Negara akan terus diselubungi skandal rasuah para pemimpin UMNO BN dan seterusnya menuju negara gagal. Kebocoran sistem Imigresen ketika Zahid selaku Menteri Dalam Negeri menyerupai skrip skandal rasuah 1MDB dengan Najib sebagai Menteri Kewangan. Parti UMNO-BN tidak dapat diselamatkan lagi. Barah tamak dan pentingkan periuk nasi sendiri berbanding nasib rakyat sudah merebak di kalangan pemimpinnya.

Lagi malang buat rakyat Malaysia barangkali adalah apabila blok pembangkang masih belum dapat kata sepakat. Pendedahan butiran skandal 1MDB seharusnya dijadikan satu peluang untuk mengetepikan perbezaan dan mencapai satu persetujuan bersama bagi membina momentum untuk mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum akan datang. Rakyat sebagai pemberi mandat akan terus terpinggir akibat kekusutan yang melanda negara. Adakah rakyat Malaysia sudah sampai di tahap di mana hanya kejaiban dapat menyelamatkan nasib mereka daripada terus terpinggir akibat kemelut politik dalam negara yang tidak berkesudahan? – Roketkini.com