Berita

Pekerja tempatan sektor sukar, bahaya dan kotor terus diiktiraf di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 19 OGOS: Seramai 18 kakitangan sektor sukar, bahaya dan kotor (3D) Pulau Pinang menerima Pingat Kehormatan Negeri sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT) Ke-78 Tun Dato’ Seri Utama Dr. Hj. Abdul Rahman Abbas yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam anugerah pingat itu, seramai 10 pekerja am Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menerima pengiktirafan manakala lapan penerima lagi dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Menzahirkan ucapan tahniah, anugerah itu kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, sebagai penghargaan dan terima kasih kepada pekerja sector berkenaan kerana menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri amat memandang berat serta mengiktiraf usaha keras pekerja sektor 3D negeri itu, berbeza dengan kerajaan yang ditadbir Barisan Nasional sebelum ini.

“Bukan macam dulu (kerajaan Barisan Nasional), tidak pernah memberi pengiktirafan, tetapi sekarang kita memberi pengiktirafan kepada mereka kerana melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan cemerlang,” kata beliau.

Anugerah bagi pekerja sektor 3D di Pulau Pinang telah dimulakan sejak tahun 2010 setelah kerajaan BN digantikan dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui DAP.

Anugerah itu antara lain untuk memastikan mutu kehidupan rakyat negeri itu sentiasa terjaga, bersih, selamat dan sihat.

Melalui ketegasan dan keperihatinan kerajaan Pakatan, Pulau Pinang mengalami transformasi menyeluruh dan kini telah dipilih sebagai antara negeri paling bersih di Malaysia.

Kejayaan kerajaan Pakatan Pulau Pinang memulihara persekitaran sihat itu telah menyebabkan George Town dipilih sebagai bandar yang paling sesuai didiami pada tahun 2011 dan 2012 oleh agensi antarabangsa ECA International. -Roketkini.com