Berita

SPR diperalat BN, pemimpin Pakatan Harapan dihalang bertemu

KUALA LUMPUR, 22 SEP: Pemimpin Pakatan Harapan hadir ke Menara TH Selborn dekat Jalan Tun Razak di sini hari ini bagi mendapatkan penjelasan mengenai usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menjadi pertikaian pelbagai pihak.

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan naik ke tingkat 10 pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan itu selepas dihalang beberapa anggota polis di lobi bangunan tersebut.

Terkejut dengan tindakan itu, Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai ketika dihubungi Roketkini berkata ia membuktikan bahawa SPR kini tidak lagi dapat bertindak bebas, sekaligus menjadi alat kepada parti pemerintah.

“Kami sepatutnya dilayan lebih mesra oleh pihak SPR, sepatutnya saya dan rakan-rakan yang lain sebagai orang awam dibenarkan untuk mendengar penjelasan oleh badan tersebut mengenai peta-peta persempadanan kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Malah, beliau turut mendakwa telah memaklumkan SPR mengenai pertemuan tersebut tetapi terdapat arahan yang tidak membenarkan mereka memasuki pejabat berkenaan ketika itu.

SPR membentangkan cadangan persempadanan semula kawasan pilihanraya pada Rabu lepas, namun, mendapat bantahan keras pihak pembangkang dan beberapa parti komponen BN yang antara lain mendakwa ia dirangka bagi memberi kemenangan besar kepada UMNO.

Pakatan Harapan menyifatkan usul tersebut tidak mencerminkan prinsip demokrasi “satu orang, satu undi” selain memecahkan kawasan mengikut polarisasi kaum.

Sementara itu, Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras berkata, wakil-wakil pemimpin Pakatan Harapan di setiap 11 kawasan Parlimen di ibu kota akan mengumpulkan sekurang-kurangnya 100 tandatangan pengundi bagi membantah usul persempadanan semula itu.

“Selepas kami dapat mengumpul tandatangan tersebut, ia akan diserahkan kepada SPR pada tarikh yang sama iaitu 11 Oktober akan datang,” katanya.

Turut serta ialah Ahli Parlimen Segambut, Lip Lim Eng, Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Hatta Ramli dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar. – Roketkini.com