Berita

SPR gadai prinsip Perlembagaan demi kelangsungan politik UMNO

KLANG, 28 SEP: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa telah menggadai prinsip Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu persempadanan semula kawasan pilihan raya demi memberi kelebihan kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ekoran cadangan persempadanan semula yang dilihat membelakangi prinsip demokrasi ‘satu orang, satu undi’ seperti mana yang termaktub dalam Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Negara.

“Kami tidak akan berdiam diri dan akan buat laporan polis. Susulan daripada itu kami juga akan bawa perkara ini ke mahkamah, sebelum tamat tempoh bantahan bagi proses cadangan persempadanan tersebut iaitu pada 14 Oktober nanti.

“Kami juga dalam proses untuk mengumpul 100 tandatangan bantahan penduduk di kawasan ini bagi dihantar kepada SPR,” katanya kepada Roketkini.

Awal pagi semalam, Charles hadir ke pejabat SPR Selangor bagi menuntut penjelasan mengenai cadangan berkenaan setelah menghantar surat rasmi beberapa hari lalu memaklumkan mengenai kehadirannya.

Bagaimanapun, pegawai yang bertugas memberitahu beliau bahawa Pengarah SPR Selangor tidak berada di pejabatnya dan memintanya untuk merujuk perkara tersebut ke ibu pejabat agensi berkenaan di Putrajaya.

Layanan hambar seumpama itu, menurut Charles jelas membuktikan bahawa SPR telah menjadi alat kepada parti pemerintah untuk merampas semula Selangor dan meneruskan kelangsungan kuasa pentadbiran negara di Putrajaya.

“SPR melakukan perkara yang memudaratkan demokrasi berparlimen, oleh itu pengarahnya perlu dihadapkan ke mahkamah,” tambahnya.

Kawasannya yang menempatkan 97,000 pengundi pada PRU Ke-13 kini telah meningkat mendadak kepada 141,000 pengundi sekiranya cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibawa SPR itu.

“Ia jelas melanggar prinsip ‘satu orang, satu undi’, kerana jika dilihat jumlah pengundi di beberapa kawasan Parlimen iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang adalah lebih kurang sama seperti di Klang.

“Hasil daripada itu, UMNO akan mendapat tiga undi manakala kita yang menang di Klang hanya mendapat satu undi. Bermakna satu undi di Klang sama nilainya dengan tiga undi di kawasan-kawasan tersebut, ia jelas membelakangi prinsip demokrasi,” katanya.

Jadual Ketiga belas Perlembagaan Persekutuan, jelasnya, telah menetapkan bahawa kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah mempunyai jumlah pengundi lebih kurang sama banyak dengan pengecualian kepada kawasan luar bandar yang mempunyai kesulitan tertentu.

Malah, katanya, jumlah pengundi yang melebihi 100,000 di sesuatu kawasan juga akan mendatangkan masalah kepada wakil rakyat untuk menguruskan hal domestik berkaitan pengagihan belanjawan seperti yang diperuntukkan kerajaan negeri atau Persekutuan. – Roketkini.com