Berita

Guan Eng tekad beri khidmat kepada rakyat, tidak terganggu dengan tuduhan rasuah

GEORGE TOWN, 30 SEP: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bertekad untuk memberikan perhatian terhadap masalah yang dihadapi masyarakat dan bertegas untuk tidak mengalih isu dakwaan rasuah yang dihadapinya dengan perkara yang tidak berkaitan.

Katanya, kerajaan negeri akan tetap terus memberikan sepenuh perhatian dalam usaha untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah banyak menyusahkan rakyat sejak ia mula diperkenalkan April tahun lalu.

Setiausaha Agung DAP itu turut mengkritik Barisan Nasional yang didakwa melakukan ‘silap mata’ dalam isu membabitkan syarikat pelaburan bermasalah milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengalih perhatian dengan perkara yang tidak penting.

“Yang kita hendak bukanlah pemain silap mata, yang rakyat mahu ialah pemimpin yang bersih, yang amanah dan membela hak rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan sejurus selepas menghadiri sesi pengurusan kes bagi dakwaan rasuah yang dihadapinya, awal pagi tadi.

Sesi berkenaan bagaimanapun ditangguhkan dan dijadualkan semula pada 6 Disember akan datang bagi memberi masa untuk meneliti kesemua 13,000 halaman dokumen yang dikemukakan pihak pendakwa ekoran terdapat beberapa kesalahan teknikal, kata peguambela Guan Eng, Gobind Singh Deo.

Guan Eng juga telah menyerahkan segala dokumen berkaitan kepada peguam yang mewakilinya untuk membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah.

Ketibaan Guan Eng di perkarangan Mahkamah disambut dengan sorakan ratusan penyokong pelbagai kaum yang telah berkumpul sejak jam 7.00 pagi tadi sebagai tanda solidariti terhadap pemimpin nombor satu negeri itu.

“Terima kasih kepada yang datang dan memberikan sokongan, kami akan terus berjuang demi rakyat Pulau Pinang dan Malaysia,” ujarnya. – Roketkini.com