Rencana

Siapa boleh jamin tiada tiga penjuru?

 

DAP tidak akan meminta apatah lagi memaksa PAS untuk mengubah pendirian mereka berkaitan agenda Hudud, kerana itu adalah hak mutlak PAS. Suka atau tidak, DAP harus menghormati pilihan PAS.

Atas agenda Hudud itu juga, PAS sudah tidak berminat bekerja untuk menumbangkan UMNO, sebaliknya sedang bekerjasama dengan UMNO untuk mencapai agenda parti mereka, saya ulangi – agenda parti mereka, bukan rakyat.

Atas senario inilah , matlamat melawan UMNO BN telah terbiar, maka DAP tidak dapat menerima sikap PAS ini. DAP berpisah dengan PAS kerana sikap PAS kepada UMNO, bukan menafikan hak PAS dan Hududnya.

Perjuangan dan agenda DAP dalam pilihanraya ini hal duniawi yang cukup jelas, iaitu mahu kalahkan UMNO dan bersama dengan rakan pembangkang melakukan perubahan politik. Bukan bekerjasama dengan UMNO untuk mengekalkan kuasanya.

Kewujudan Amanah dan Pakatan Harapan

Amanah wujud atas sebab untuk meneruskan agenda melawan UMNO yang ditinggal terbengkalai oleh PAS. Amanah mahu menang dan mengisi kemenangan itu dengan hasrat melakukan perubahan (reformasi) bersama-sama dengan dengan PKR dan DAP.

Dengan kata lain, Amanah, PKR dan DAP berkongsi agenda yang sama, bukan agenda parti masing-masing seperti PAS dengan Hududnya. Ini perbezaan yang sangat nyata mengapa Pakatan Rakyat terpecah.

Maka itulah wujudnya Pakatan Harapan – untuk meneruskan agenda reformasi.

Dikatakan Amanah menjadi proksi DAP, manakala PAS di Selangor dikatakan menjadi proksi PKR. Ini semua labun politik, ini bukan agenda reformasi.

Wujudnya pertandingan 3 penjuru

Di Pilihanraya Negeri Sarawak dan Pilihanraya Kecil Sabak Bernam dan Kuala Kangsar yang lepas, berlaku pertandingan 3 penjuru antara PH, PAS dan UMNO.

Boleh saja kita menyalahkan Amanah atau PKR dan PAS hatta DAP sekalipun (walaupun DAP tak bertanding di 2 PRK). Tetapi menyalahkan mana-mana parti, bukan jalan penyelesaian untuk menang.

Yang ideal sememangnya pertandingan 1 lawan 1. Cara ini akan menyukarkan UMNO, dan cara ini juga dikatakan kerja untuk mencari kemenangan lebih cerah.

Tetapi adakah formula ‘ideal’ ini boleh dilaksanakan dalam keadaan ada parti yang tidak setia dengan prinsip gabungan?

Jika kita yakin hanya dengan pertandingan 1 lawan 1 itu boleh membawa kejayaan, maka usaha tersebut tidak seharusnya sukar seperti sekarang.

PAS telah mengesahkan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan kerana adanya DAP dan Amanah. Secara tidak langsung PAS memberi mesej kepada umum bahawa Amanah dan DAP adalah musuh PAS, bukan UMNO. Ini tragedi yang pelik.

Mesej kedua yang dihantar PAS kepada khalayak ialah, mereka tidak peduli lagi kehendak rakyat yang mahukan pembangkang yang bersatu. Sebaliknya, PAS mementingkan kesucian parti mereka daripada bekerjasama dengan parti pengkhianat Amanah dan parti kafir DAP.

Realiti Pengundi

Hari ini, mereka yang anti UMNO-Najib semakin bertambah bilangannya. Bukan sahaja dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan, malah ramai lagi yang anti UMNO-Najib ini didalam parti PAS dan UMNO.

Kita (pembangkang) meminta rakyat yang anti Najib untuk membuat pilihan yang bijak, tetapi kita sendiri tidak berani membuat pilihan dan keputusan dalam soal gabungan pembangkang. Ini realiti yang memalukan. Yang dilihat buruk bukan PAS tetapi DAP, PKR dan lain-lain.

Jika mahu menghormati sikap PAS ke atas DAP dan Amanah, pakatan pembangkang perlu menghormati kehendak rakyat lebih lagi. Yang akan memberi undi kelak bukan hanya juak-juak PAS tetapi rakyat keseluruhannya.

Suka atau tidak, satu garis politik harus dilukis untuk membeza dan menjelaskan kedudukan sebenar pihak mana yang melawan UMNO BN dengan pihak mana yang mesra dan bekerjasama dengan UMNO.

Peranan Parti Bersatu

Cabaran parti Bersatu, Amanah dan parti tempatan Sabah Sarawak (yang sedang dibentuk) seakan sama. Rakyat sukar mengenal logo mereka di hari pilihanraya.

Yang ideal, semua parti pembangkang menggunakan satu logo. Soalannya, mampukah usaha ini dilaksanakan?

Parti PPBM (Bersatu) di Johor mungkin akan menjadi parti yang kuat atas faktor-faktor realiti akar umbi, tetapi keadaan akan menjadi rumit apabila PPBM yang galak mahu mengalahkan UMNO, disabotaj oleh parti yang mesra UMNO.

Formula ‘1 lawan 1’ di Johor tidak ada beza dengan formula pelbagai penjuru berdasarkan kecelikan politik Bangsa Johor, jika tidak masakan Tan Sri Shahrir boleh menewaskan UMNO di Johor Bahru dengan hanya bertanding memakai logo parti Bebas.

Formula 1 lawan 1

Tanpa ada garis politik yang jelas, usaha meyakinkan rakyat untuk memberi undi kepada pembangkang sangat sukar. Tidak kira samada formula 1 lawan 1 atau pelbagai penjuru. Pro dan kontra formula 1 lawan 1 atau pelbagai penjuru itu memang wujud, risiko tidak dapat dielak.

Tetapi jika sudah ada garis politik yang jelas, rakyat akan lebih yakin dan mudah untuk menolak apa jua parti yang dilihat menyokong atau mesra UMNO. Apakah kumpulan pembangkang bersedia dengan segala kemungkinan?

Hingga saat ini, belum ada jaminan pertandingan 3 penjuru dapat dielakkan. Rakyat terus menunggu, apakah hasil rundingan pemimpin mereka. Kita mendengar pihak PPBM dan PKR sedang memujuk dan berunding dengan PAS untuk tujuan itu, ianya usaha yang baik, kita okay, tetapi berapakah harga yang perlu dibayar untuk memastikan PAS tidak bertembung dengan kerusi PPBM, PKR, Amanah malah DAP?

Kita memang mengharap formula itu berhasil. Tetapi Bangsa Johor dilihat bersedia dengan kemungkinan lain, mereka akan ‘langgar’ mana-mana parti yang curang, sampai menang. – Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim ialah Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor