Berita

Rakyat luar bandar Sabah terpaksa bergelap, peruntukan bekalan elektrik dipotong

KUALA LUMPUR, 22 OKT: DAP Sabah melahirkan rasa kecewa berikutan peruntukan bekalan elektrik bagi kawasan luar bandar negeri itu telah dikurangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Belanjawan 2017 yang dibentang di Parlimen semalam.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong berkata, tindakan itu membuktikan bahawa kerajaan tidak ikhlas dalam membantu penduduk pedalaman negeri itu untuk menikmati bekalan elektrik yang sempurna.

“Peruntukan untuk bekalan elektrik di kawasan luar bandar Sabah akan dipotong daripada RM398 juta pada tahun 2015 kepada RM250 juta pada 2016.

“Ia sama sekali tidak adil kerana kebanyakan rakyat di Sabah yang tinggal di kawasan luar bandar masih belum menerima bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Sandakan itu juga turut melahirkan rasa tidak puas hati berikutan Hospital Sandakan tidak tersenarai antara hospital yang menerima peruntukan RM2.5 bilion bagi kerja-kerja menaiktaraf hospital dan kemudahan perubatan.

Peruntukan besar itu hanya diberikan kepada Hospital di Perlis, Kuching, Mukah, Jempol, Muar dan Johor Bahru, tambahnya memetik teks ucapan Bajet 2017 oleh Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan.

“Saya telah berkali-kali menyeru kerajaan untuk menaik taraf Hospital Duchess of Kent kerana keadaannya yang sangat buruk, kemudahannya juga sudah usang. Ia sangat tidak menyenangkan bagi pesakit dan rakyat biasa.

“Saya juga berulang kali meminta kerajaan untuk menggantikan dua lif di dalam bangunan hospital yang sering dipecahkan,” ujarnya sambil menegaskan akan membangkitkan sekali lagi isu berkenaan dalam sesi perbahasan belanjawan di Parlimen pada Isnin depan. – Roketkini.com