Berita

Misteri ‘unit’ pelaburan 1MDB tidak terjawab, Tony persoal apa disorok Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR. 25 OKT: Tindakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak merahsiakan pengurus dana dan bank kustodian baru bagi pelaburan 1MDB bernilai US$940 juta amat mencurigakan.

Pelaburan dalam bentuk ‘unit’ yang disimpan di BSI Bank Singapura sebelum ini menjadi persoalan memandangkan bank tersebut telah dibatalkan lesennya oleh kerajaan Singapura kerana didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram melibatkan skandal 1MDB.  

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua telah bertanya kepada Menteri Kewangan tentang status ‘unit’ tersebut, namun jawapan yang diberi tidak begitu menyakinkan.

Menurut Menteri Kewangan, Ahli Lembaga Pengarah Brazen Sky Limited mengesahkan bahawa sebuah bank berlesen antarabangsa telah diberi mandat sebagai bank kustodian untuk mengambil alih peranan BSI Bank, Singapura.  

Bagi Tony, jawapan tersebut amat tidak bertanggungjawab.

“Pertama sekali, kenapa Menteri tak sebut, siapakah pengurus dana dan kustodian bank yang baru?  Apakah kerahsiaan yang diperlukan sehingga namanya tidak boleh dimaklumkan kepada Dewan Rakyat?” soalnya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

“Dulu bila Menteri Kewangan ditanya siapa pengurus dana pelaburan 1MDB di Cayman Islands, Menteri Kewangan sama-sama enggan menamakan nama pengurus dana walaupun beliau menegaskan bahawa ia dilaburkan dalam sebuah syarikat kewangan yang berlesen.

“Kini, kita faham kenapa Menteri enggan menamakan syarikat. Ini kerana syarikat pengurus dana pada masa 1MDB membuat pelaburan telah didapati oleh Ketua Audit Negara sebagai tanpa lesen,” ujarnya kepada pemberita.

Setiausaha Publisiti DAP itu turut mempersoalkan sama ada keengganan Menteri Kewangan untuk menamakan pengurusan dana ‘unit’ ini adalah kerana ia juga tidak berlesen seperti syarikat di Cayman Islands sebelum ini.

“Adakah Menteri Kewangan takut kalau ia dinamakan, bank kustodian yang baru ini juga akan dibatalkan lesen perbankan seperti apa yang terjadi kepada BSI Bank Singapura?” soalnya lagi.

Menurutnya, jawapan Menteri Kewangan tidak boleh diterima kerana beliau bertanggungjawab untuk memastikan kesahihan segala jawapan yang diberikan oleh syarikat yang dikawalnya.  

“Menteri Kewangan kena pasti bahawa nilai ‘unit’ itu benar-benar bernilai US$940 juta!” tegas beliau.

“Adalah jelas bahawa kesemua kekurangan keterbukaan dalam jawapan Menteri Kewangan ini menunjukkan bahawa adanya udang di sebalik batu yang disembunyikan daripada rakyat Malaysia,” tambahnya.

Aset ‘unit’ yang dikatakan bernilai US$940 juta tersebut merupakan baki aset yang ditebus daripada pengurus dana di Cayman Islands pada bulan Januari 2015. Sehingga hari ini, persoalan mengenai ‘unit’ ini kekal menjadi misteri.

Keengganan 1MDB untuk memberi sebarang maklumat dan dokumen kepada Ketua Audit Negara, dan keputusan Deloitte Malaysia untuk menarik balik pengakuan kepada audit 1MDB bagi tahun 2013 dan 2014 mewujudkan keraguan besar terhadap kewujudan ‘unit’ tersebut. – Roketkini.com