Rencana

DAP Dapat Untung? – oleh Zhafir Z

Kenaifan dan selesa dalam spectrum, biasanya di kalangan manusia yang mengaku diri wartawan atau penganalisis media arus perdana, boleh membuatkan seseorang itu takut untuk mengorek lebih dalam tentang falsafah Pakatan Rakyat yang dipersetujui bersama oleh PAS, PKR, dan DAP.

Maka, keluarlah ayat-ayat dari pendukung Utusan Malaysia yang berbunyi begini: “…dalam apa soal sekalipun, DAP tidak begitu mengambil berat apa perasaan dan pandangan PAS, sebaliknya merujuk kepada PKR”.

Petikan rencana Utusan Malaysia bertarikh 4 Mei 2011 bertajuk “Hanya DAP dapat untung” oleh Zulkiflee Bakar jelas optimismenya untuk memacu pemikiran rakyat tentang kekacauan Pakatan Rakyat, atau mungkin kejahilan si penulis ini sendiri.

Walhal, telah jelas gabungan tiga parti pembangkang utama ini telah menghasilkan permuafakatan bersama atas nama Dasar Bersama, iaitu iltizam membawa Malaysia ke landasan betul terutamanya (selain isu lain) perihal politik perkauman.

DAP semenjak penubuhannya pada 1965 telah menolak politik perkauman dan oleh itu wujud slogan Malaysian Malaysia yang kemudiannya diperhalusi lagi menjadi gagasan Utamakan Rakyat Malaysia.

Jadi, apabila penulis Utusan itu cuba mengikut rentak Datuk Seri Najib Razak yang ‘menasihatkan’ PAS supaya keluar dari Pakatan Rakyat, beliau seolah-olah mahu menyerbu masuk menari tanpa mengikut langkah. Biasanya, sama ada tango atau zapin, sumbanglah langkah itu.

Tambah penulis Utusan itu lagi, dengan nada menasihat: “PAS perlu faham bahawa corak politik diamalkan DAP lambat laun akan memusnahkan PAS… orang Melayu semakin mampu melihat dengan jelas tindak-tanduk DAP di Pulau Pinang dan Selangor yang jelas tidak menghormati PAS.”

Lagi-lagi fitnah diadun bohong tanpa sebarang fakta. Perkara ini telah pun dijelaskan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, setahun sebelum Zulkiflee menekan punat papan kekunci untuk rencana beliau itu.

Kata Guan Eng, Pulau Pinang di bawah piminan DAP dan Pakatan Rakyat telah membasmi kemiskinan tegar hanya dalam tempoh setahun memerintah, berbanding 51 tahun pemerintahan Barisan Nasional tidak dapat lakukan!

Tambah Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi, Transparency International memuji ketelusan pentadbiran Pulau Pinang, selain Ketua Audit Negara juga memuji negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat kerana mencatatkan lebihan belanjawa negeri dan pengurusan kewangan yang baik.

Bagaimanapun, lebih parah, Utusan telah menuduh PAS “menjual” perjuangan Islam demi menjaga hati DAP dan PKR. Kata orang Utara Semenanjung, “tak boleh kot tu, dia pi kot ni”. Lepas dituduh DAP, dihentam PAS pula dan kemudian dipusing balik untuk kenakan PKR. Tuduhan dangkal ini hanyalah pementasan si penulis itu sahaja.

Ingin dipersoalkan di sini, kenapa DAP tidak “naik sheikh” bila tidak menguasai Perak sedangkan parti yang dituduh “Cina”  inilah yang punya banyak kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Dan kenapa diserahkan kepada PAS secara sukarela tanpa bangkangan dari DAP Pusat? Malah terbukti pula Menteri Besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai seorang pemimpin yang baik, telus serta adil dan disukai semua kaum di Perak.

Inilah bukti bahawa selama ini DAP merupakan parti yang bersifat rendah diri bersesuaian dengan piagam DAP – Jalan Tengah Malaysia.

“DAP menegaskan bahawa dalam pada kami mendukung kebebasan hak beragama, kita menghormati Islam sebagai agama Persekutuan,” jelas Guan Eng sewaktu merasmikan Konvensyen DAP ke-15 di Ipoh Januari 2010.

Penjelasan Guan Eng turut meggambarkan penghormatan DAP kepada institusi diraja Perak yang mana undang-undang tubuhnya mahukan Menteri Besar adalah Melayu dan beragama Islam.

Selagi ada manusia masih menghabiskan wang ringgit untuk membeli naskah-naskah fitnah, selagi itulah fitnah akan terus disebarkan.

Namun, syukur kerana orang Malaysia tidak mudah termakan fitnah. Bukan semata-mata kerana Malaysia sudah teramat maju dengan teknologi internet atau twitter tetapi kerana minda dan hati sudah semakin terbuka untuk menolak amalan jahiliyah politik yang masih diamalkan mereka yang berada di puncak kuasa. – Roketkini.com

Leave a Reply