Rencana

Hantu Melayu dan Cina datang Lagi – oleh Aria Dwarma

Dalam laman Twitternya, Datuk Mahfuz Omar telah memberi respon terhadap pelawaan UMNO kepada PAS mengenai isu yang sudah berulang-ulang dimainkan iaitu isu perpaduan Melayu. Mahfuz, Naib Presiden PAS, berkata (tweet): “Kalau dah Melayu kuasai BN, apa yang kecoh DAP menang kerusi Cina. Apa yang sibuk nak ajak Pas sertai BN kalau dah kuat. Bahalol betoi (betul) hang (kamu) ini.”

Respon Mahfuz yang ‘kecil’ ini dianggap oleh Mohd Puad Zarkashi sebagai biadap, emosional, tidak mencerminkan nilai Islam hinggalah dianggap sebagai contoh buruk kepimpinan Islam. Begitulah reaksi ‘besar’ Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu yang juga Timbalan Menteri Pendidikan ke atas satu respon yang ‘sekecil’ itu.

Isu-isu ini bermula apabila Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Datuk Seri Najib Razak memulakan konspirasi untuk meminggirkan PAS dan DAP dari PKR (baca: Datuk Seri Anwar Ibrahim). Sambil Perdana Menteri mencucuk kelompok PAS dengan Isu Perpaduan Melayu dan memomokkan kaum Melayu bahawa DAP parti rasis Cina, sahabat beliau iaitu Presiden MCA pula membilas PAS dengan isu Negara Islam dan memancing sentimen kaum Cina untuk terus mengubah sokongan dari menyokong DAP kepada MCA.

Pancingan Chua Soi Lek ini tidak ada bezanya dengan mengugut kaum Cina dengan ancaman untuk menolak semua jawatan kabinet dalam kerajaan BN pada masa hadapan. Ugutan ini dilunakkan lagi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya kepada media baru-baru ini.

Sedarkah Chua Soi Lek dan politikus-politikus yang ada disekelilingnya bahawa bukan sahaja kaum Cina, malah India, Melayu dan kaum-kaum lain sekali pun, tidak lagi mengharapkan “kamu” (kaum dari bangsa sendiri) menjadi menteri untuk membela nasib mereka. Sebaliknya, apa yang diharapkan oleh “kami” (rumpun bangsa Malaysia) ialah manusia yang menajdi pemimpin atau menteri itu mampu melaksanakan kerja dengan jujur, betul dan bagus, tanpa mengira kaum atau agama.

Sesungguhnya, sesiapa pun yang menjadi menteri, individu itu tidak mewakili bijak atau zalimnya sesuatu kaum. Kalau seseorang itu kurang cerdik atau kejam maka dia sahaja bersifat begitu dan bukan keseluruhan kaum atau keturunannnya.

Jika Presiden MCA itu masih dengan mentaliti yang beranganggapan bahawa kepentingan sesuatu bangsa itu hanya mampu dibela oleh bangsanya sendiri, maka – sah beliau masih bermentalitikan politik perkauman UMNO. Mungkin politik perwakilan kaum itu dianggap sesuai pada zaman Merdeka dahulu tetapi sekarang UMNO sudah berubah menjadi parti yang bukan sahaja mementingkan satu kaum sahaja tetapi juga mahu menidakkan peluang orang lain tanpa sebarang alasan yang sah.

Jika polemik pemimpin politik yang berdasarkan ras bangsa ini difahami dengan betul, maka tuduhan yang mengatakan DAP mengamalkan politik rasis adalah menjadi sebaliknya – senjata makan tuan. Bukti itu telah ditunjukkan dengan jelas sekali oleh parti komponen BN sendiri iaitu MCA.

Kecoh-kecoh yang mengatakan parti DAP menang pilihanraya di Sarawak baru-baru ini kerana bersandarkan sentimen perkauman Cina, amat ironis sekali. Fakta jelas membuktikan DAP banyak menerima undi kaum Bumiputera yang bosan dengan tekanan BN Sarawak.

Dakwaan kononnya DAP rasis datang dari UMNO yang jelas dengan agenda perkaumannya.  Dan yang menyedihkan, mereka (UMNO) sangat berbangga dengan fitnah ini. Secara psikologinya, UMNO masih dalam ‘denial syndrome’. Dalam isu ini, apakah yang hendak kita hairankan jika seorang pencuri menuduh orang lain mencuri? Hakikatnya, yang tidak boleh menerima perubahan bukanlah rakyat tetapi pemimpin Barisan Nasional.

Tweet Mahfuz Omar tidak lain dan tidak bukan, sekadar memperlekeh usaha terdesak UMNO-BN yang memainkan sentimen bangsa dan agama untuk tujuan memecahbelahkan kesepakatan dan keharmonian rakyat. Jika Tweet ini dianggap oleh Puad Zarkashi sebagai emosional, maka beliau sendirilah yang terlebih emosional dalam mempertahankan keangkuhan politik UMNO.

UMNO tahu rakyat sudah mulai sedar dan bijak, maka untuk mengepong minda rakyat dari terus terbuka dan maju, sentimen kaum dan agama terus dimainkan. Secara logik, manusia yang waras dan rasional sekali pun, akan mudah gelabah dan tenggelam punca jika dimainkan dengan unsur-unsur ketakutan dan kecurigaan – inilah matlamat UMNO-BN. Mereka beranggapan semua Melayu cacat dan lemah serta amat memerlukan tongkat UMNO. Bagi mereka tanpa UMNO, hancurlah Melayu walau pun sejak Merdeka masih ramai Melayu ketinggalan di sebalik slogan UMNO mempertahankan Melayu.

Rakyat telah berani melakukan perubahan pada 2008, ketahuilah semua bahawa rakyat tidak akan ragu dan takut-takut lagi untuk terus berubah. Keberanian tanpa keganasan ini diteruskan dengan sabar, tenang dan waras dalam menghadapi dakyah UMNO-BN yang paling dahsyat dalam sejarah politik tanahair. Rakyat tidak akan termakan umpan yang semurah ini untuk kembali menyembah UMNO-BN hanya kerana pemimpin mereka sendiri takut untuk berubah.

Para pemimpin UMNO takut untuk berubah kerana menyangka demokrasi, keadilan, hak dan peluang saksama serta ketelusan akan menutup peluang mereka mencuri dan merampas hak rakyat. Sedangkan Pakatan Rakyat mahu memberi rakyat hak dan peluang sepenuhnya.

Rakyat dan masa akan meninggalkan perangai politik sempit dalam lipatan sejarah. Inilah hukum alam, apabila terlalu takbur dan angkuh, kekuatan dan keangkuhan itulah yang akan menjatuhkan mereka yang di atas. Rakyat semakin kuat, dan sudah sedar bahawa kedudukan para pemimpin kerajaan berada di dalam tangan rakyat. – Roketkini.com

Leave a Reply