Berita

Memang DAP nak dekati anak muda – Chin Tong

KUALA LUMPUR, 23 MEI – DAP tidak ada pilihan lain kecuali menubuhkan laman web berbahasa Malaysia, Roketkini, kerana kekangan media oleh kerajaan UMNO dan Barisan Nasional, kata Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong.

Katanya, ruang media yang sempit selama ini telah menyekat usaha DAP yang bersifat berbilang kaum untuk mendekati masyarakat Malaysia terutamanya kaum Melayu.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta UMNO dan BN berhati-hati dengan gerakan sistematik DAP untuk merampas Perak, Melaka dan Negeri Sembilan, termasuk melalui usaha memulakan blog dan laman web berbahasa Malaysia.

“Memang DAP sudah ada laman web Bahasa Malaysia, iaitu Roketkini. Ia sangat penting kerana kita perlu sokongan semua kaum untuk memastikan Pakatan Rakyat dapat membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan telus,” kata Liew yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera.

Tambahnya lagi, selama ini sekatan dan halangan oleh media perdana menunjukkan DAP sebagai sebuah parti Cina, walhal setelah 45 tahun penubuhan, DAP tidak pernah menutup ruang kepada semua kaum.

“DAP diterima oleh Melayu sama seperti PAS diterima oleh kaum lain, dan ini menunjukkan kekukuhan dan perpaduan di dalam Pakatan Rakyat sendiri.

“Setelah sekian lama DAP tak diberi peluang mendekati kaum Melayu, maka agenda parti yang bersifat berbilang bangsa ini tidak dapat difahami oleh rakyat Malaysia terutamanya kaum Melayu,” katanya.

Mengulas respon kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO Mohd Puad Zarkashi yang memberi amaran kepada anak muda Melayu supaya berhati-hati dengan serangan psikologi DAP, Liew menjelaskan DAP selama ini memang berusaha mendekati anak muda kepada semua kaum terutamanya Melayu.

“Ini penting kerana DAP mahu menjelaskan fakta sejarah sebenar yang selama ini ditulis semula oleh pihak tertentu di dalam UMNO,” jelas Liew.

Malah, daripada tuduh menuduh antara satu sama lain, Liew mengajak UMNO duduk berbincang dengan DAP dan Pakatan Rakyat tentang fakta dan kebenaran sejarah.

“Jika berlaku dialog sedemikian, kita boleh bandingkan versi-versi sejarah masing-masing. Ini boleh dibantu oleh pakar-pakar sejarah yang bersifat adil dan tak berat sebelah.

“PAS ada versi sejarahnya sendiri, begitu juga PKR dan semua parti dalam komponen Barisan Nasional. Dialog ini penting untuk mencari titik pertemuan kesemua parti politik tanah air, untuk semua rakyat Malasia menilai sendiri,” katanya. – Roketkini.com