Rencana

Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan

Salam sejahtera buat para pembaca yang budiman,

Jutaan terima kasih kerana sudi melawat laman web Roketkini. Kehadiran kami ke alam maya adalah satu lagi kesinambungan usaha untuk memperkenal serta memberi gambaran sebenar mengenai Parti Tindakan Demokratik (DAP) – matlamat, wawasan, prinsip, ideologi, perjuangan, amalan dan harapannya – serta dasar dan perjuangan bersama Pakatan Rakyat.

Roketkini yang berbahasa Malaysia sepenuhnya bukanlah satu usaha baru dari DAP. Sejak penubuhan parti pada 1966, pelbagai langkah dan usaha telah dilaksanakan untuk menyampaikan maklumat yang jelas dan benar dalam bahasa kebangsaan kepada rakyat, namun ia sentiasa menghadapi bermacam masalah, khususnya serangan hebat dari pemerintah; sejak zaman Perikatan hingga kepada Barisan Nasional.

Sekian lama media arus perdana milik UMNO dan rakan-rakan komponen BN telah mengelirukan pandangan rakyat tentang prinsip perjuangan DAP sehingga ramai yang percaya ia adalah parti yang hanya mementingkan kaum Cina sahaja. Sementara UMNO dan BN beroperasi atas landasan kaum, propaganda mereka cuba menimbulkan kebencian rakyat terhadap parti-parti pembangkang yang mereka tuduh sebagai perkauman.

Jarum halus ini berterusan sejak lebih 50 tahun lalu. Hanya akhir-akhir ini rakyat mula sedar dan bosan dengan permainan politik perkauman dan keagamaan sempit yang bahaya kepada hubungan harmoni antara kaum di negara ini.

Walau pun wujud kesedaran, masih ada yang tertanya-tanya: Bolehkah orang Melayu menjadi pemimpin DAP? Bolehkah wanita Islam bertudung menjadi ahli, calon atau pemimpin calon DAP? Adakah DAP mempertahankan Perlembagaan Persekutuan? Adakah DAP menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan? Adakah DAP menerima kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan?

Secara ringkas, jawapan kepada semua persoalan itu adalah “YA”. Dan sudah tentu ia memerlukan penjelasan yang lebih mendalam yang melibatkan soal prinsip dan ideologi. Semua ini akan dihuraikan dari semasa ke semasa dalam Roketkini dengan lebih terperinci.

Dengan itu, kemunculan Roketkini adalah untuk membantu DAP serta, mengikut kemampuan yang terdaya, Pakatan Rakyat dalam usaha menjelaskan matlamat perjuangan serta usaha-usaha bagi membawa perubahan dan alternatif yang lebih baik daripada UMNO dan BN kepada rakyat Malaysia.

Namun, walau pun Roketkini penuh bersemangat untuk menjayakan harapan ini, kejayaan atau kegagalannya bergantung kepada faktor-faktor sekeliling dan semasa. Kami menyedari bahawa dengan sumber kewangan, kakitangan, pentadbiran dan perkara-perkara berkaitan yang terhad, sudah tentu tidak dapat berdiri sebagai satu portal berita yang profesional.

Apa yang mampu kami tawarkan ialah suara dari DAP dan rakan-rakan Pakatan di samping rencana dan analisis yang berkaitan yang dibawakan dalam bahasa kebangsaan kita. Sudah tentu ia akan bermula dengan sedikit sebanyak cacat-cela yang kami harap para pembaca dapat maafkan buat permulaan ini.

Satu lagi, Roketkini memerlukan sokongan dan kerjasama dari semua pihak, khususnya dari para pemimpin dan ahli DAP sendiri – bukan sahaja untuk mempromosikan laman web ini tetapi juga untuk menyumbang tulisan dan pandangan mereka. Ini adalah penting kerana Roketkini bukanlah satu tongkat sakti yang mempunyai kuasa ajaib yang boleh menyebarkan maklumat tanpa penglibatan para pemimpin dan ahli parti.

Secara tidak langsung, ini juga dapat menggalakkan lagi usaha mengamalkan penggunaan Bahasa Malaysia di kalangan pemimpin dan ahli DAP yang sebenarnya sudah pun memulakan amalan itu walau pun belum meluas di semua peringkat.

Selain itu, sumbangan para pembaca yang prihatin amat diperlukan dalam usaha mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang benar-benar demokratik di mana wujudnya amalan keadilan, kebebasan, hak dan peluang saksama serta pencegahan dan penentangan terhadap rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Lagi pun, usaha memperluaskan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantara semua kaum, agama dan kepercayaan politik, termasuk melalui usaha kecil ini dari Roketkini, akan dapat merapatkan hubungan antara kita. Malah, secara tidak langsung ia akan mendedahkan hipokrasi kalangan tertentu yang menganggap bahasa itu milik kaum mereka sahaja. Bahasa Malaysia milik kita semua.

Memang masih ramai yang sinis dengan usaha DAP untuk mengarusperdanakan perjuangan politiknya yang berteraskan keadilan dan peluang saksama. Tetapi lebih ramai lagi yang mahu Malaysia menyertai masyarakat global dalam menikmati hasil demokrasi yang membuahkan kehidupan harmoni, makmur dan stabil tanpa perlu menggadaikan hak, peluang dan kebebasan.

Dengan sokongan para pembaca yang budiman, kami yakin usaha ini akan berjaya. Segala sumbangan amat dihargai. Kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan.

Salam perjuangan.

Wan Hamidi Hamid

Editor

 

Leave a Reply