Berita

Biasiswa: Tubuh jawatankuasa khas kaji pemberian JPA

KUALA LUMPUR, 2 JUN – Dasar kelayakan dan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam harus dikaji semula oleh semua Ahli Parlimen, dan bukan hanya oleh komponen parti Barisan Nasional sahaja.

Perkara ini dijelaskan Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz semalam untuk menyemak semula pemberian biasiswa JPA.

Sehubungan itu, Loke mencadangkan Kabinet supaya menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen untuk membincangkan isu biasiswa ini secara adil dan tidak berlandaskan politik semata-mata.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah mahu isu semakan biasiswa JPA diselesaikan dengan baik berikutan ia sudah menjadi ‘acara tahunan’ yang mengkucar-kacirkan negara.

“Setiap tahun, isu ini berakhir dengan perdebatan mengenai kuota kaum yang jelas mengoyakkan lagi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” kata Loke dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya mana-mana keputusan yang dibuat Kabinet atau BN sahaja tidak akan menyelesaikan isu ini, sebaliknya akan melanjutkan lagi skrip lama mereka.

“Apa yang rakyat Malaysia perlukan ialah satu konsesus yang luas dan berprinsipkan keadilan, bukan dengan penyelesaian politik semata-mata,” katanya.

Jelasnya lagi, dasar yang dibuat hanya berdasarkan politik tidak mampu menyekat penghijrahan para intelek dan professional ke luar negara, sebaliknya akan memusnahkan masyarakat yang sepatutnya berasaskan ilmu dan pengetahuan.

Dalam kenyataannya semalam, Nazri menyatakan Kabinet akan membuat semakan pada akhir tahun ini dan keputusannya akan dilaksanakan tahun depan. – Roketkini.com