Berita

Sajak menjadi senjata merbahaya

KUALA LUMPUR, 28 JUN – Bukan sahaja t-shirt telah menjadi senjata merbahaya di Malaysia, sajak juga kini dianggap sebagai sesuatu yang amat bahaya kepada masyarakat.

Yang menjadi mangsa kerana menulis sajak adalah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang telah dipanggil polis semalam untuk menjelaskan tentang sebuah puisi yang dideklamasikan beliau pada malam pelancaran Bersih 2.0 di sini pada 19 Jun lalu.

Pak Samad, 76, yang terkenal dengan novel pertamanya Salina telah melahirkan rasa kecewa kerana pihak berkuasa telah menyiasat beliau di bawah Akta Hasutan sedangkan puisinya yang ditujukan untuk perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini berniat murni.

Menurut laporan Malaysiakini, tokoh seni negara itu tidak gentar dengan tindakan polis, sebaliknya yakin kalangan sasterawan prihatin akan terus menyuarakan pandangan mereka terhadap permasalahan masyarakat.

“Saya fikir puisi sekarang sudah diterima sebagai alat berkesan sebagai senjata. Dulu puisi ini untuk menghibur-hiburkan saja, sekarang rupanya puisi sudah mendapat perhatian yang amat luar biasa,” jelas beliau.

Sajak yang menjadi punca siasatan itu turut disiarkan dalam blog Pak Samad – samadsaid.wordpress.com – yang turut mengandungi puisi serta catatan peribadi beliau tentang ius-isu semasa.

“Saya pun merasa aneh juga mengapa hal ini harus berlaku. Dalam puisi itu adalah saranan-saranan yang saya fikir amat suci dan sepatutnya dihargai dan bukan dicurigai.

“Kita sebenarnya perlu mempersuci demokrasi dan bukan memperkeruhkannya atau mencemarinya,” tambah beliau.

Selain menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1985, Pak Samad juga adalah penerima hadiah Pejuang Sastera (1976), Anugerah Penulis Asia Tenggara (1979) dan Sasterawan Sasterawan Nusantara (1999). – Roketkini.com