Berita

Ramai tak mampu beli rumah RM300,000, kata Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 30 JUN – Kira-kira 60 peratus keluarga Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan tidak akan mampu membeli pangsapuri yang ditawarkan oleh kerajaan dengan harga di antara RM220,000 dan RM300,000 seunit.

Pangsapuri harga mahal dengan saiz yang kecil, iaitu di antara 850 dan 1,000 kaki persegi, yang digambarkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebagai “rumah kelas pertengahan” adalah di luar kemampuan rakyat untuk membelinya.

Setiausaha Organisasi DAP Teresa Kok berkata pembeli bukan sahaja tidak mampu kerana harga pangsapuri itu,  malah mereka juga ditekan oleh masalah yang dicipta oleh kerajaan BN melalui pemotongan subsidi petrol, diesel dan gas serta gula dan barang keperluan harian lain.

Dengan itu, katanya, tidak munasabah dan jahil bagi kerajaan BN untuk menganggap rakyat mampu membeli pangsapuri yang diharapkannya menjadi “rumah kelas pertengahan” itu.

Laporan media menyebut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung mengumumkan bahawa golongan berpendapatan sederhana berpeluang memiliki rumah melalui insentif kerajaan membina pangsapuri berharga kurang daripada RM300,000 di kawasan lembah Klang pada tahun ini.

“Pangsapuri saya sendiri di Kuchai yang saya beli kira-kira tiga tahun lalu berharga RM250,000 dengan keluasan kawasan 1,500 kaki persegi.

“Jadi, harga yang kerajaan tetapkan untuk pangsapuri kelas pertengahan itu dengan harga di antara RM220,000 dan RM300,000 dengan keluasan 850 – 1,000 kaki persegi itu adalah lebih kecil dan tentunya tidak boleh dikatakan mampu dibeli oileh rakyat,” kata Teresa yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor.

Beliau meminta kerajaan pusat BN mengikut jejak langkah kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor, melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), yang kini sedang membina rumah pangsa berharga kurang daripada RM100,000 di seluruh negeri.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh juga meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan sama ada projek perumahan 1Malaysia di tapak pangkalan TUDM di Sungai Besi yang diumumkannya baru-baru ini adalah sebahagian daripada projek “rumah yang mampu dimiliki kelas pertengahan”.

Beliau mengingatkan kerajaan BN bahawa projek perumahan di Sungai Besi itu akan menambah kesesakan lalu lintas yang sudah pun teruk itu, termasuk apabila terowong SMART ditutup untuk pembaikpulihan atau dijadikan saluran banjir yang mematikan sama sekali pergerakan kenderaan. – Roketkini.com