Budaya

Kepimpinan perempuan – Oleh Aishah

3 OGOS – Sejarah Melayu mempunyai beberapa ciri yang konsisten dengan Hikayat Raja Raja Pasai dan Hikayat Pattani iaitu di zaman-zaman itu merakamkan kepimpinan oleh sosok perempuan.

Peranan aktif perempuan juga tergambar pada sastera panji dan sastera hikayat, contohnya Hikayat Panji Semirang (watak Raden Galuh Cendera Kirana) dan Hikayat Gul Bakawali (watak Puteri Gul Bakawali).

Perempuan sebelum zaman penjajahan menikmati kebebasan dan kuasa ekonomi. Lihat sahaja pada peranan Kraeng Balla-Jawaya (1634) dan Kraeng Tangangalla yang lebih awal, masing-masing mempunyai autonomi dan tidak dilihat lemah.

Perempuan juga dikenali sebagai pahlawan untuk negaranya, seperti Suriyothai yang dibunuh ketika melindungi Ayutthaya pada 1564, dan Lady Mo yang menyelamatkan Khorat pada 1826 selepas memimpin beberapa ratus perempuan yang dipenjara melepaskan diri.

Di alam Melayu ini merakamkan banyak pemerintah perempuan sehinggalah abad ke-18 di mana peranan perempuan sebagai pemimpin mula berkurangan.

Kerajaan Funan pernah mempunyai pemimpin perempuan iaitu Ratu Soma/Mera Mayang Mengurai, pelandas Champa Raja Perempuan Kandarpadharma, masing-masing pada abad ke-2M dan pelandas Kalimantan iaitu Puteri Junjung Buih pada abad ke-3M.

Terdapat juga tokoh perempuan pada zaman kerajaan Kalingga yang memegang tampuk pemerintahan pada abad ke-7 hingga ke-9 Masihi iaitu Ratu Sima.

Antara abad ke-15 dan ke-17 pula, terdapat corak pemerintahan oleh perempuan disebabkan kepentingan perdagangan – kerajaan Pasai yang merupakan pusat perdagangan Islam pertama di Asia Tenggara mempunyai dua raja perempuan pada 1405-34.

Di Burma pula, menyaksikan Shinsawbu sebagai raja perempuan pada tahun 1453-72. Begitu juga di Solor, Aceh (1641-99) dan Patani (1584-1688).

Ternyata pengaruh yang dibawa “Ratu”, “perempuan” mampu menentukan jalan hidup seorang pemimpin.

Hal ini tidak hanya terjadi pada zaman Mataran Islam sahaja malah berlaku pada zaman sebelumnya lagi; zaman Singhasari (Ken Arok-Ken Dedes), zaman Majapahit (Hayam Wuruk-Diah Pitaloka), zaman Pajang (Hadiwijaya-Ratu Kalimanyat).

Babad Tanah Jawi menceritakan peranan Ratu Kidul, Ratu Kalinyamat dan Ratu malang. Ratu Pantai Selatan (selain Raja Mataram) dianggap penting sehingga kini.

Ratu Kalinyamat, tokoh perempuan yang penting pada abad ke-16, pemerintahan selama 30 tahun menunjukkan kepimpinannya di Jepara. Seorang yang cantik parasnya, kaya berkuasa, pemberani serta cerdas dan bijaksana dalam membuat keputusan.

Begitu juga dengan Ratu Malang. Ratu Mas Malat dan Ratu Pamalang juga nama lainnya. Perkahwinan antara Sunan Amangkurat I (Raja) dengan Ratu Malang hanya 17 tahun. Ratu Wetan ini memberi pengaruh yang besar dalam politik, sosial dan psikologi sunan.

Nagarakertagama pula mengusulkan kepada kita representasi perempuan dalam masyarakat dan status sosialnya.

Karya Kresnayana, Sudamala, Ghatotkacasray di dalamnya menunjukkan sikap perempuan yang pelbagai; emosional (Dewi Ratih), berkuasa (Dewi Parwati), tenang, tawakal dan bijak (Dewi Prajnyaparamita) dan lain-lain lagi.

Ia tidak menunjukkan sifat yang berlawanan antara lelaki dan perempuan, kerana pada saat lelaki disimbolkan dengan peperangan dan kekerasan, perempuan sebagai lembut, bukan lemah.

Malah simbolik Dewa Siwa dan Dewi Parwati menunjukkan hubungan yang saling memerlukan, bukan kerana salah satunya mesti lemah tetapi perbezaan perwatakan

Tuntasnya, banyak karya mempersembahkan watak-watak perempuan yang berkuasa, tidak seperti ‘kepercayaan’ tradisi.

Cumanya, isu perempuan sebagai pemimpin ini mula cuba dibenamkan sejak kedatangan Islam ke wilayah Nusantara ini, status perempuan direndahkan walaupun seharusnya tidak begitu. Walau pun merendahkan status wanita bukan dari ajaran Islam, tafsirannya telah dikaitkan dengan agama oleh penguasa-penguasa sejak zaman itu.

Isu ini harus mendapatkan tempatnya semula dalam masyarakat. Malah gagasan ‘feminisme’ telah pun bermula lama lagi menerusi hikayat-hikayat, cuma mungkin penamaannya lain serta cara penyampaiannya yang berbeza dan tidak diungkapkan seperti pengarang kini (abad ke-19 dan abad ke-20) yang ekspresif.

Dan ia bukanlah pengaruh modenisasi secara total tetapi kesedaran yang terhasil daripada rasa cinta terhadap bangsanya sendiri. – Roketkini.com