Berita

Bersihkan Pulau Pinang…dari denggi

GEORGETOWN, 4 OGOS – Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang bukan sahaja komited untuk pilihan raya yang bersih, malah mahu membersihkan negeri daripada masalah denggi.

Berikutan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah mengarahkan kesemua 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan penyelaras Kawasan Adun (Kadun) untuk mengadakan gotong-royong di kawasan masing-masing.

Beliau berharap dengan mengadakan aktiviti tersebut, keadaan rakyat di bawah negeri Pakatan itu akan menjadi bersih dan sihat dari masalah kesihatan.

“Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang prihatin dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dan berharap agar keadaan denggi tidak menjadi lebih teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, semua Adun Pakatan Rakyat dan penyelaras perlu mengambil langkah tambahan untuk mendidik orang awam tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan.

Guan Eng yang juga Adun Air Putih dan Ahli Parlimen Bagan menyarankan agar kawasan-kawasan yang berpotensi dengan pembiakan denggi dimusnahkan agar rakyat di sini sihat dan aktif membangunkan ekonomi negeri.

Beliau berharap rakyat Pulau Pinang sedar akan masalah ini dan menggesa untuk menyokong aktiviti gotong-royong ini sejajar dengan matlamat kerajaan Pakatan Pulau Pinang, iaitu menjaga kepentingan rakyat.

Untuk maklumat lanjut, rakyat Pulau Pinang boleh menghubungi penyelaras Adun masing-masing atau terus menghubungi Jabatan Kesihatan di talian 04-866 8357 (Barat Daya), 04–538 2453 (SPT), 04–575 4433 (SPU), 04–593 5892 (SPT), 04–282 8500 (Timur Laut). – Roketkini.com