Budaya

Kerang Rebus – Oleh Asi Dani

Ibu dengan nafas yang tercungap-cungap, terus gagah mengacau seperiuk kerang rebus di atas tunku dapur. Dengan asap kayu api yang semakin berkepol-kepol keluar, masih tak dapat menolak ibu ke tepi dari terus mengacau kerang-kerang itu. Begitulah sikap ibu, urusan dapur jangan ada sesiapa yang mempersoalkannya sekalipun dia sakit semput.

Dalam sibuk mengacau kerang, sambil menyorong-nyorong kayu api, tangannya masih sempat menggiling lada. Sambal lada yang masam pedas ini memang hebat rasanya. Itulah harapan tinggi seorang anak pada masakan ibunya.

Rasanya sedikit masam kerana ada perahan air limau kasturi, sedikit rasa bawang putih dan hirisan bawang merah dan terasa sedikit pijar pada lidah kerana lada kering. Lada kering ini ibu tak terlalu lama merendamnya, supaya rasa pedas pijar itu tidak hilang terus. Semua ini digiling halus-halus.

Azan berkumandang.

Kami berbuka puasa di laman rumah. Petang ini suasananya meriah sekali, ramai jiran-jiran berkumpul. Ibu nak menjamu jiran-jiran yang rata-ratanya kaum Cina.

Dari sebelah rumah, seorang kawannya Ah Siu, di depan rumah pula satu keluarga peniaga kain, ibu memanggilnya Nyonya Ser. Di sebelah kiri rumah, adalah guru aku sendiri iaitu Sir Soon Se How dan keluarganya.

Sekitar dua puluh orang yang datang. Ibu seolah-olah tidak berbuka pada ketika itu kerana sibuk melayan kawan-kawan Cinanya. Malah aku disuruh melayan anak-anak Cina yang tak tahu mengopek kerang rebus.

Anak Ah Siu yang lebih kurang seusia aku, kami panggil Meme, sangat suka kerang rebus ibu, tapi dia tidak tahu mengopek dan tidak tahan pedas.

Anak guru aku yang sama-sama kaki bola, Ji Soon pula bising kerana kerang yang banyak aku kopekkan, semuanya aku beri pada Meme anak Ah Siu, gadis Cina paling manis malam itu. Sudah lama saat ini aku tunggu, mahu makan sama Meme.

Seronok jika sekali-sekala berbuka puasa dengan jiran-jiran yang ada.

Ibu memang suka menjamu orang. Bila dia buat, dia akan jamu betul-betul, bukan sekadar dengan masakan tetapi dengan layanan hebat. Kami anak-anaknyalah yang paling letih. Tetapi semua ini, buat hati ibu senang, semputnya boleh reda bila jiran-jiran ada di sekeliling.

Nyonya Ser yang duduk di depan rumah kerjanya menjahit kain perca. Anak-anak Nonya Ser berniaga kain di pasar malam sekitar pekan rumah kami. Ibu juga pandai menjahit, ibulah orangnya yang mengajar Nyonya Ser menjahit kain perca untuk pelbagai kegunaan.

Ada yang jenis alas kaki, alas meja, kusyen dan gebar. Dengan jahitan inilah, Nyonya Ser memenuhkan masa lapang dan menambah sedikit pendapatannya.

Sir Soon yang duduk di sebelah kiri rumah juga sangat rapat. Bila petang, dia akan mandikan anjingnya. Kadang kala ibu akan bising kerana air cucian anjingnya itu akan melimpah masuk ke laman rumah kami. Sir Soon akan datang dan mencucinya kembali.

Jika orang yang belum kenal perangai kami berjiran ini, pasti menganggapnya satu pergaduhan. Tapi pada hakikatnya, Sir Soon juga selalu bising bila ibu memasak di dapur hingga Sir Soon sekeluarga akan terbersin kuat kerana terhidu cili goreng ibu.

Pernah Sir Soon berseloroh pada ibu, “Nyonya, you punya masak sangat sedap, hingga anjing I pun bersin”. Ibu pula membalas “Kalau cikgu tak nak anjing cikgu bersin, lepas mandikan anjing cikgu, cikgu lap dengan tuala, jangan kasi dia kibas-kibas badan”.

Jenaka ini berterusan, lama-kelamaan semuanya sudah faham.

Di saat pemergian ibu, dia diratapi oleh jiran-jirannya terutama sekali Ah Siu, jiran di sebelah kanan rumah.

Ketika kami baru berpindah dahulu, Ah Siu adalah jiran yang mula-mula tinggal di situ. Mereka bersama-sama mencuci rumah dan menanam pokok buah-buahan dan bunga. Kadangkala, jika Ah Siu ke Singapura, dia akan belikan ibu beberapa jenis anak pokok bunga.

Mereka berkongsi minat yang sama. Pokok jambu batu masih berdiri tegak di rumah Ah Siu, anak pokok itu antara pokok-pokok yang ibu berikan pada Ah Siu. Pokok nangka di depan rumah ibu pula adalah pemberian Ah Siu. Setiap musim, pokok nangka dan buah jambu mereka berdua ini tidak pernah gagal berbuah.

Hari ini, jika pulang ke rumah ibu, Sir Soon akan memanggil aku dan berbual tentang kenangan dengan ibu dan anjingnya yang juga telah mati itu. Anak Sir Soon yang menjadi teman bola aku, masih di Amerika, belajar.

Nyonya Ser sudah rabun dan tidak mampu lagi menjahit kain perca. Cucunya sudah bertambah ramai, setiap petang dia akan duduk di laman rumah dengan kerusi rodanya dengan diselimuti oleh kain-kain perca yang pernah dijahitnya dahulu.

Meme, anak gadis manis Ah Siu, dia sudah ditunangkan dengan jejaka pilihannya dari Singapura. Barangkali, kini dia sudah pandai mengopek kerang. – Roketkini.com