Berita

Masalah kaum India berpunca dasar tamak UMNO-BN

GEORGETOWN, 10 Sept – Punca kepada masalah-masalah masyarakat India di Malaysia adalah kerana dasar UMNO-Barisan Nasional yang terkenal dengan tipu helah dan konspirasi mengaut keuntungan untuk poket sendiri semata-mata.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy berkata, beliau secara berprinsip menolak untuk berdebat dengan MIC atau PPP berhubung masalah masyarakat India kerana mereka ibarat lalang dalam BN.

“Masalah dihadapi masyarakat India selama ini adalah berkaitan masalah dasar UMNO. Apa hasilnya kalau saya berdebat dengan MIC atau PPP?” katanya mengulas cadangan forum debat anjuran Malaysian Indian Business Association (MIBA) yang dijadualkan di Kuala Lumpur esok.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata, jika debat itu berlaku pun, ia akan melencong menjadi medan menghentam MIC dan PPP yang tidak menjaga kepentingan masyarakat India selama ini.

Ahli Parlimen Batu Kawan itu memberi contoh isu Kampung Buah Pala, Pulau Pinang yang disifatkannya sebagai rancangan jahat UMNO-BN untuk menutup malu sebaik saja tewas kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008.

“Ketika zaman pemerintahan BN, tanah yang didiami masyarakat India sejak lebih 100 tahun itu, tanpa pengetahuan penduduk, telah dijual kepada Koperasi Kakitangan Kerajaan Negeri.

“Pemindahan tanah itu berlaku secara cepat dalam tempoh seminggu sebaik Pakatan mengambil kuasa,” katanya kepada Roketkini.

Ramasamy yang juga Adun Prai berkata, kerajaan negeri Pakatan tidak dapat berbuat apa-apa terhadap perjanjian itu, sebaliknya berusaha memastikan penduduk tidak dianiayai setelah dibiarkan begitu sahaja oleh UMNO-BN.

Sewaktu Pakatan cuba membantu penduduk tempatan, katanya, media kawalan UMNO-BN menggunakan isu tersebut sehabis-habisnya bagi mengelirukan rakyat.

Berkat kesabaran dan kecekapan kepimpinan Pakatan Pulau Pinang, Ramasamy berkata, pemaju Nusmetro atas kepentingan perniagaan mereka sendiri akhirnya bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri selepas mengadakan beberapa sesi dialog.

“Akhirnya, mereka bersetuju untuk tukar dari mendirikan kondominium kepada mendirikan 15 buah rumah yang sekarang ini mencecah RM800,000 setiap satu untuk penduduk Kampung Buah Pala,” katanya.

Atas bukti ini, Ramasamy menyatakan beliau tidak mahu membuang masa berdebat dengan MIC atau PPP yang ditunggang UMNO kerana mereka gagal menyelesaikan kes Kampung Buah Pala yang wujud lebih lama dari usia UMNO.

“Oleh kerana UMNO-BN yang menjadi punca masalah kaum di negara ini, termasuk yang dihadapi oleh kaum India, saya bersedia untuk berdebat dengan pemimpin sebenar mereka iaitu Datuk Seri Najib Razak atau Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Biarkan ianya menjadi debat terbuka untuk semua orang awam. Tak perlu mengenakan caj RM100 seorang untuk mendengar debat itu,” katanya.

Forum anjuran MIBA esok mengenakan bayaran RM100 untuk peserta yang menyertainya. – Roketkini.com