Berita

Pakatan mahu Najib buktikan serius untuk reformasi pilihan raya

KUALA LUMPUR, 13 SEPT – Janji kerajaan untuk membersihkan proses pilihan raya Malaysia akan terbukti menjadi satu pembohongan jika Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen dalam masa enam bulan mulai Oktober depan.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke berkata Pakatan Rakyat akan mmemberi kerjasama penuh dengan Jawatankuasa Pemilih Parlimen (PSC) mengenai pemulihan proses pilihan raya sekiranya Perdana Menteri jujur dengan jamin pelaksanaannya.

“Jika Parlimen dibubarkan tahun ini, terbukti Barisan Nasional terutamanya Najib cuba menutup mata rakyat kerana ianya adalah helah untuk memperbaiki imej mereka yang tercalar sejak perhimpunan aman Bersih 2.0 9 Julai lalu,” katanya dalam sidang media Pakatan Rakyat di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata menyatakan bahawa tempoh pelaksanaan dan siasatan PSC akan berlangsung selama enam bulan, bermula pada sesi pertama Parlimen, 3 Oktober hingga Mac 2012.

Justeru Pakatan Rakyat hari ini menuntut Najib melaksanakan lima perkara utama sebelum sesi Parlimen bermula, iaitu:

1)  Menerima secara terbuka lapan tututan Bersih 2.0 dan melaksanakan dengan segera perkara-perkara yang sememangnya dalam bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

2)  Menetapkan tarikh PRU ke-13 secara muafakat di antara BN dan Pakatan.

3)  Sekiranya persetujuan di atas dapat dicapai, PSC mesti diberi ruang waktu yang selesa untuk berbincang dan melaksanakan reformasi pilihan raya.

4)  Memasukkan agenda isu pemberian kerakyatan kepada warga asing yang kemudian dijadikan pengundi sebagai salah satu daripada terma rujukan.

5)  Segala cadangan PSC hendaklah ditunaikan oleh pihak kerajaan, bukannya satu jawatankuasa yang hanya memberikan cadangan-cadangan tetapi tidak boleh melaksanakannya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menuntut supaya Najib memberi jawapan dan maklumat berhubung lima perkara ini secepat mungkin.

“Adakah beliau bersedia memberi jaminan lima perkara ini? Maksudnya memberi jaminan akan menyelesaikan pelaksanaan reformasi pilihanraya, bukan semata memberi jaminan mulut, tetapi kerja tidak dilaksanakan langsung,” katanya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula menjelaskan kerajaan pusat harus mengambil contoh muafakat seperti yang ditonjolkan Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat di United Kingdom yang bekerjasama berbincang menentukan tarikh pilihan raya.

“Kalau ini jadi satu amalan dalam era baru politik Malaysia, barulah nampak iltizam kita bersama untuk mengadakan reformasi dalam pilihanraya,” katanya. – Roketkini.com