Budaya

Rebung persahabatan II – Oleh Sabari Rumi

Cerpen

“Para pelajar semua jangan lupa pesan Cikgu ya, semasa SRP nanti kamu jawab semua soalan, jangan tinggalkan mana-mana soalan tanpa jawapan. Izam, dengar tak Cikgu cakap ni ”?

Inilah pesanan guru kepada kami sekelas pada saat akhir sebelum kami menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran pada akhir Tingkatan 3 yang sekarang sudah menjadi Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Selepas pesanan itu, semua mata pelajar tertumpu kepada Izam. Kami melihat Izam hanya tersengih-sengih saja.

Dalam saat-saat akhir itu juga, kami rakan-rakan sekelas terus cuba membantu Izam dengan pelbagai bahan untuk persiapan menghadapi peperiksaan yang semakin dekat. Dia antara yang gagal dalam percubaan yang lepas, oleh itu aku dan Boey dengan rela hati ingin membantu Izam.

Bagi kami ketika sekitar awal 1990-an yang bersekolah di kawasan luar bandar, begitu teringin sekali untuk keluar dari kawasan kami dan melihat dunia luar. Kami ingin jadikan peperiksaan ini sebagai tiket untuk segera keluar dari dunia tempurung kami.

Dengan kelulusan yang ada, ibu bapa pasti tidak menghalang, malah jika kelulusan lebih baik, kami boleh masuk ke sekolah teknik atau vokasional walau pun itu bukanlah pilihan utama kami. Kami hanya ingin sekolah lain, jauh dari keluarga dan kampung kami. Duduk di kampung semenjak kecil, sungguh membosankan.

Hinggakan aku masih ingat pada kugiran rock kami, aku dan Boey ada membuat satu lagu berentak thrash bagi melepaskan perasaan kami.

Antara potongan lirik yang masih diingati…

“…bangun pagi.. toreh getah .. mesin getah.. bau badan.. macam getah”

“  Cikgu marah..kita lari kebun getah..”

“ Bapak marah…kita lari keluar daaeeraahhh ” (ramai-ramai)

Setiap kali kami jamming secara curi-curi di pekan atau berlatih gendang di sekolah, Izam akan menjadi penonton setia. Dia tidak pandai bermain muzik dan bersukan. Maka, menonton adalah peranannya dalam kumpulan kami.

Boey pula akan sentiasa mengheret Izam ke sana ke mari, bukan saja untuk belajar tetapi untuk menyibukkan Izam dengan aktiviti kami. Jika tidak demikian, nescaya Izam hanya akan duduk diam di kelas, aku dan Boey tidak mahu dia pasif.

Battle of The Bands

Dalam kesibukan kami dengan sekolah dan persiapan peperiksaan besar yang akan dihadapi, suatu ketika pada hari minggu, Boey datang dan menunjukkan sehelai kertas kepada aku. Tanpa berlengah, aku memanggil rakan-rakan lain dalam kumpulan kami.

Apa yang Boey bawa itu adalah sekeping borang untuk masuk bertanding Battle of The Bands. Pertandingan itu akan diadakan di bandar. Satu-satunya bandar yang terdekat terletak hampir 60 kilometer dari tempat tinggal kami, dan ia diadakan hanya beberapa hari sebelum peperiksaan SRP bermula.

Melihat tarikh, kami semua menjadi serba-salah.

Semangat untuk masuk bertanding dengan brother-brother rock di daerah kami sangat mengujakan. Inilah peluang kami untuk tunjuk bakat, apatah lagi Boey yang lincah bermian drum sangat teruja mahu menunjukkan skillnya, malah bukan senang bagi kami yang tinggal di kampung untuk mendapatkan peluang seperti itu.

Keadaan ini bertambah hangat dengan kedatangan kumpulan Search yang akan membuat persembahan sempena Battle of The Bands itu. Gelojak jiwa kami semua membuak-buak mahu pergi.

Hanya Boey seorang yang terus mendesak untuk masuk pertandingan itu.  Aku dan yang lain agak ragu-ragu kerana bimbang usaha ini akan diketahui oleh guru dan ibu bapa kami, sudah tentu kami akan dihambat satu sekolah dan keluarga.

Berjam-jam kami berbincang. Akhirnya, kami membuat keputusan untuk pergi menonton sahaja pertandingan itu.

Boey sangat kecewa, malah dia bertambah kecewa kerana ketika hari yang sepatutnya kami pergi menonton Battle of The Bands, hasrat itu terpaksa juga dibatalkan kerana kami mendapat tahu bahawa tiket untuk menonton sudah habis dijual.

Selepas seminggu peperiksaan tamat, aku, Boey dan Izam bertemu kembali dan meneruskan rutin kami dengan bersukan dan bermain muzik.

 

Derita Izam

Selepas rutin-rutin ini, kami akan menghabiskan masa di pekan dan minum di warung cendol. Seperti selalu, jika aku kekurangan wang, Boey akan belanja, jika Boey juga pokai maka aku atau Izam yang akan belanja kami makan cendol.

Cendol mamak ini sangat hebat, lemak manis rasanya. Ais kisarnya cukup halus, hingga hari ini setelah hampir 25 tahun, warung itu masih di situ. Kereta sorong warung ini sudah bersatu dengan bumi akibat begitu lama ia tidak dialihkan.

Tauke warung itu namanya Abang Jamal, anaknya junior sekolah kami. Dan selepas hampir 25 tahun, anaknya itulah yang mengambil alih menjual cendol.

Ketika melepak di warung cendol inilah Izam menceritakan kepada aku dan Boey bagaimana beliau mendapat jangkitan di telinga.

Selama kami mengenali Izam, kami baru mengetahui bahawa beliau menghadapi masalah pendengaran yang serius. Telinganya senantiasa bernanah, ketika waktu rehat di sekolah, Izam akan ke tandas membuang nanah di telinganya. Dia mula mendapat jangkitan ini ketika dalam darjah lima di sekolah rendah.

Ketika seawal Izam masuk ke sekolah dan kelas kami, tidak ada siapa yang mengetahui masalahnya. Kami menganggapnya sebagai pelajar lembap dan pasif.

Hinggalah suatu ketika apabila cikgu menyuruh aku dan Boey bertukar tempat duduk dengan Izam yang dekat dengan meja guru dan papan hijau. Rupa-rupanya kerana Izam tidak boleh mendengar dengan jelas. Kerana itulah Izam pendiam, tidak banyak bercakap dan tidak aktif seperti kami.

Dan bagi Izam sendiri, ketika di tingkatan dua, dia pernah meluahkan perasaan kepada aku dan Boey bahawa dia rasa ‘sunyi’ dari suasana normal. Maka ketika kami jamming atau berlatih di kelas gendang, dia akan hadir kerana itu dapat membantunya merasa seperti insan lain yang berkeadaan normal. Namun katanya, ketika kami jamming, beliau hanya dapat mendengar bunyi drum dan melihat aksi kami bertandak sakan. Itu sudah memadai untuk menggembirakannya.

Izam menjelaskan, jika bercakap, kebanyakkan pertuturan orang lebih difahaminya melalui gerak bibir, bahasa badan dan sedikit bunyi yang sangat kabur. Dari hari itulah aku dan Boey berkawan rapat dengan Izam. Kawan kami ini sangat istimewa.

Boey lebih prihatin lagi kepada Izam. Ketika persediaan peperiksaan yang lalu itu, dia membekalkan Izam dengan nota yang sangat banyak. Dan aku pula selalu bermain gitar di depan bagi menghiburkannya.

Takdir Boey

Kami bertiga sudah menjadi seperti Three Musketeers. Ke mana pergi kami hanya bertiga. Hampir sebulan selepas peperiksaan kami, suatu pagi Izam tiba-tiba muncul di depan rumah aku. Ketika itu aku masih tidur, ibu mengejutkan aku.

Sesampai aku di depan pintu rumah, Izam meminta pensil dan kertas, dengan keadaan yang masih mamai lagi aku menurutkan saja. Sambil menguap, aku melihat Izam menulis di atas kertas. Di tulisnya “ Boey kita dah meninggal kemalangan subuh tadi ”.

Aku tergamam.

Izam hanya mampu melihat aku yang terpinga-pinga. Masih aku ingat bagaimana pagi itu aku cuba mengumpul kekuatan untuk memahami keadaan ini. Baru petang semalam kami bertiga singgah minum cendol di warung Abang Jamal. Abang Jamal sempat mengusik aku dan Boey untuk menjaga ‘adik’ kami iaitu Izam. Tetapi pagi ini, Boey sudah tiada.

Aku sangat hampa. Izam menangis. Kami tiada kata-kata.

Buat kami, tiada lagi Tahun Baru Cina dan Deepavali pada masa akan datang.

Ketika keputusan SRP keluar, aku dan Izam ke sekolah untuk mengambil keputusan kami. Kami hanya mampu menahan air mata apabila mendengar rakan baik kami, Boey yang bercita-cita mahu menjadi kapten kapal telah mendapat 12 aggregat.

Hasil keputusan itu, aku juga berjaya untuk meneruskan cita-cita mahu keluar dari daerah ini dan meneruskan pelajaran ke sekolah yang lebih baik lagi. Aku tidak mahu tunggu lebih lama lagi dengan segala macam sejarah yang terjadi.

Izam lebih sedih, dengan bantuan keras Boeylah dia juga telah lulus walau pun pada permulaannya, cikgu menjangka dia akan gagal. Dan selepas itu Izam memilih untuk kekal bersekolah di sekolah kami. Apabila tiba hari aku akan berangkat, Izam singgah di rumah aku. Dia ingin ucap selamat jalan kepada aku.

Sempat lagi dia berbisik “Mainkan aku satu lagu boleh?”

Aku pun mainkan sebuah lagu yang diminatinya ‘Basikal Tua’ nyanyian Sudirman Hj Arshad.

Selepas nyanyian itu, Izam tersenyum. Aku tidak pasti adakah dia tersenyum kerana seronok dapat mendengar petikan gitar aku itu atau apa, tetapi aku percaya ini akan menjadi noltalgia buat kami.

Aku hadiahkan gitar itu kepada Izam, buat kenangan padanya tentang kami, aku dia dan Boey. – Roketkini.com