Berita

Menteri Pelajaran “sokong” fitnah blogger UMNO, cabul hak kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 24 OKT – Yang mencipta fitnah terhadap anak lelaki Lim Guan Eng yang berumur 16 tahun dan masih bersekolah adalah para blogger UMNO.

Yang menyebarkan fitnah keji tersebut kononnya anak Ketua Menteri Pulau Pinang itu mencabul seorang pelajar perempuan adalah beberapa pemimpin UMNO.

Yang memangsakan seorang wanita pemain catur England dengan memfitnah beliau untuk dikaitkan dengan anak Setiausaha Agung DAP itu adalah para blogger UMNO juga.

Dan yang “menyokong dan mempertahankan” perbuatan keji para blogger dan pemimpin UMNO tersebut adalah Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran.

Muhyddin pada Sabtu lalu menyatakan penafian Guan Eng terhadap fitnah yang dilemparkan terhadap anaknya itu tidak mencukupi dan mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang supaya membuat laporan polis supaya siasatan boleh diadakan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang terkejut dengan saranan Muhyiddin, berkata Menteri Pelajaran itu telah lupa dengan tanggungjawabnya untuk melindungi pelajar sekolah di bawah Akta Kanak-Kanak Malaysia 2001.

“Dengan bersekongkol bersama mereka yang melakukan serangan tidak bertanggungjawab terhadap anak Guan Eng yang juga cucu saya yang berusia 16 tahun, Muhyiddin telah gagal dalam tugas pertamanya sebagai Menteri Pelajaran.

“Muhyiddin mungkin satu-satunya Menteri Pelajaran di dunia ini yang telah melanggar Akta Kanak-kanak Malaysia 2001 atau Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak yang memastikan kanak-kanak dan pelajar sentiasa berada dalam keadaan selamat secara fizikal, emosi dan mental.

“Persoalannya, adakah Muhyiddin layak untuk terus menjadi Menteri Pelajaran apabila dia sanggup mencabul hak kanak-kanak semata-mata untuk kepentingan agenda politik yang kotor dan keji?” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, fitnah itu bukan sahaja dinafikan oleh Guan Eng tetapi juga ditolak oleh pengetua sekolah di mana anak Guan Eng dituduh melakukan perbuatan gangguan seksual itu.

Katanya Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin juga telah menafikan berlaku sebarang perbuatan curang kerana tidak ada sebarang bukti terhadap tuduhan liar dan keji yang dibuat oleh beberapa blogger dan pemimpin UMNO.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua pula berkata Guan Eng tidak perlu membuktikan apa-apa kerana beliau, anaknya dan wanita pemain catur yang dipalsukan gambar oleh blogger UMNO yang sebenarnya menjadi mangsa fitnah.

Menurutnya, Muhyiddin sebaliknya memilih untuk memberi sokongan kepada perbuatan jijik blogger dan pemimpin UMNO yang telah memfitnah kanak-kanak yang tidak berdosa.

“Beban untuk membuktikan kesalahan terletak pada pihak yang membuat tuduhan, dan bukannya pihak yang telah difitnah,” katanya.

Banyak pihak melahirkan rasa terkejut dengan sikap Muhyiddin dan para penyokongnya kerana pendirian yang tidak masuk akal itu.

Bagi mereka, pihak polis sepatutnya menyiasat orang-orang yang membuat fitnah, dan bukannya siasatan terhadap “jenayah” dakwaan pencabulan yang tidak ada pelaku, tidak ada mangsa dan tidak wujud sama sekali. – Roketkini.com