Rencana

Bahasa bukan boleh dipaksa – Oleh Adil Mat Selamat.

28 OKTOBER – Kita boleh meletakkan apa-apa nilai ke atas bahasa. Sesiapa pun, juga boleh menjustifikasikan sumbangan bahasa dalam identiti sesuatu bangsa, agama, falsafah, teknologi, tamadun, budaya dan pelbagai lagi. Itu semua pendapat, tidak ada yang salah.

Bahasa mempunyai pelbagai dimensi dan bentuk, ada bahasa pertuturan, penulisan, visual, bunyi dan isyarat termasuk kod-kod yang khusus. Namun akhirnya, bahasa kembali kepada pangkal fungsinya. Ia tetap sebagai medium perantaraan atau hubungan komunikasi antara sesama manusia.

Dengan bahasalah kita mengerti dan mengetahui akan sesuatu, dengan bahasa jugalah cinta manusia bersemi. Ibarat ungkapan P.Ramlee “Tiada kata secantik bahasa”. Pengalaman seseorang juga, boleh diterima sebagai satu entiti bahasa – yang malar.

Dakwaan krisis yang sedang dihadapi oleh masyarakat kita dalam konteks Bahasa Malaysia pada hari ini masih berlarutan.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai sebuah agensi (baca: institusi) yang telah diamanahkan untuk mengembangkan ilmu dalam Bahasa Malaysia kelihatan bergelut mencari jalan penyelesaian terhadap apa yang dianggap sebagai ‘krisis’ ini.

Apakah benar kita sedang menghadapi krisis? Jika benar, adakah krisis ini akan menyebabkan kerosakan budaya bangsa kita, bangsa Malaysia (a Malaysian nation)?

Gabungan pelbagai akar bahasa

Secara umum dan ringkas, cita-cita untuk melahirkan sebuah Bangsa Malaysia telah tercetus semenjak negara kita bertukar nama dari Malaya kepada Malaysia. Ia adalah nama yang menjadi penyatuan bangsa-bangsa yang wujud di dalamnya, Melayu, India, Cina dan kaum-kaum Bumiputera Sarawak dan Sabah.

Jika Bangsa Malaysia itu akan wujud, maka bahasanya juga perlu hadir sebagai penyatu cita-cita bangsa yang baru ini. Maka, daulah telah memilih dan mengangkat secara ‘rasmi’ Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Sudah jelas dan tidak apa-apa perselisihan mengenainya bahawa ke’rasmi’an bahasa ini sekadar formaliti yang dipersetujui antara masyarakat bebas (baca: warganegara yang dipimpin) dengan kerajaan yang mewakili institusi dan kumpulan orang awam itu sendiri.

Dalam konteks sejarah kewujudan Bahasa Malaysia, semua kita sedia maklum, ia berakar dari Bahasa Melayu.

Namun, bagi kaum Melayu, janganlah hendaknya mereka terlalu bermegah kerana bahasa mereka dijadikan bahasa rasmi kerana kita semua juga tahu bahawa bahasa Melayu itu juga bukanlah bahasa yang seratus peratus asli sifatnya.

Bahasa Melayu lahir dari gugusan bahasa-bahasa yang lebih tua tamadunnya. Bahasa Sanskrit, Jawa, Campa dan bahasa-bahasa Arab, Parsi, Portugis dan Inggeris, turut menyumbang kepada kelahiran bahasa Melayu.

Jadi, tidak perlu sesiapa pun mendakwa Bahasa Melayu itu hanya sumbangan solo bangsa Melayu semata-mata. Secara ringkas, ia cukup adil dan jelas.

Maka, Bangsa Malaysia memerlukan Bahasa Malaysia.

Tinta masa

Perkembangan dan penggunaan Bahasa Melayu pada asalnya cukup tinggi dan kuat. Pedagang yang datang berniaga akan berurusan dalam Bahasa Melayu, utusan rasmi kerajaan juga kebanyakannya turut belajar menggunakan Bahasa Melayu.

Kita yakin pada zaman itu, tidak semua mereka fasih berbahasa Melayu, maka tidak mustahil jika ada di antara mereka yang menggunakan bahasa campur-campur (rojak).

Malah, mubaligh Kristian dan pendakwah Islam Arab dan India juga menggunakan Bahasa Melayu dalam kerja-kerja mereka. Secara ringkasnya, dari lingua franca, Bahasa Melayu telah menjadi bahasa kosmopolitan pada zamannya.

Keadaan ini turut digambarkan dalam banyak catatan Munsyi Abdullah.

Dewan Bahasa dan Pustaka

Kini, pelbagi pihak termasuk DBP dan professional Melayu mendakwa bahawa telah wujud beberapa golongan Melayu yang malu untuk bertutur dalam Bahasa Malaysia. Kita akui ianya wujud.

Ada dakwaan tentang penggunaan bahasa rojak baik dalam pertuturan seharian, lakonan dalam drama dan juga hal-hal teknikal seperti penggunaan di papan-papan iklan. Kita juga akui ianya wujud, malah sejak zaman Melaka lagi.

Kesan dari itu, wujud lagi dakwaan penggunaan bahasa yang salah dan bersimpang-siur, baik dari segi tata bahasa, pemakaian perkataan dan ayat. Kita akui ia benar dan wujud pada masa kini.

Hinggalah pihak yang mendakwa ini terasa hati bila ada pihak lain yang mengkritik dengan mengatakan Bahasa Malaysia bukan bahasa teknologi, bahasa yang tiada nilai ekonomi dan bahasa yang tidak mampu bersaing dalam era global. Ya, ada perkara yang kita bersetuju dan ada juga hal yang tidak kita persetujui dalam kenyataan itu.

Kemudian, pihak yang terasa hati ini kembali mendakwa masyarakat kita sudah hilang jati diri bangsanya. Maka inilah yang mereka dakwa sebagai ‘krisis’ yang membimbangkan.

Senario dalam satu senario lain

Rangkuman terhadap hujah, pandangan dan kritikan tersebut menjelaskan lagi kepada kita bahawa dalam ketika kita mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan secara rasmi, rupa-rupanya, tanpa disedari bahawa aspek peranan, fungsi, sifat, perkembangan dan nilai bahasa itu pun turut kita jadikannya satu formaliti.

Meng’formaliti’kan nama atau judul Bahasa Malaysia dalam konteks nasional tidak menjadi kesalahan. Tetapi meng’formaliti’kan konsep dan nilai bahasa adalah satu bentuk paksaaan yang tidak wajar.

Bagaimana mungkin, kita boleh menyeragamkan istilah dan penggunaan bahasa pertuturan harian?

Bagaimana kita boleh menetapkan sesuatu kaedah olahan bahasa hanya menerusi satu-satu kaedah yang dibenarkan?

Dalam konteks bahasa, semua ini bersifat amat cair, maksudnya ia adalah nilai yang boleh berubah-ubah dan amat bergantung kepada ciri-ciri sesuatu kelas masyarakat dan zamannya.

Ini sifat bahasa yang tidak boleh diformalkan atau dijumudkan. Jika dipaksa juga, maka bekulah perkembangan bahasa dan intelek manusia.

Mahu memaksa tapi takut dipaksa

Malah ada segelintir pihak di dalam DBP yang mengeluh kerana DBP tidak diperuntukkan dengan undang-undang atau akta untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa yang betul.

Bayangkanlah jika DBP ada kuasa, pasti setiap hari akan ada “saman ekor” kerana tersalah sebut, tersalah cakap dan tersalah faham!

Sebaliknya, jika institusi seperti DBP diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen, rakyat ingin sekali menyoal agensi-agensi ini tentang bagaimana mereka menggunakan wang rakyat dalam bajet mereka.

Berapa banyak buku terjemahan yang telah mereka hasilkan? Buku siapa? Berapa jumlah buku yang telah mereka haramkan selama ini? Atas sebab apa? Dan berapa banyak buku ilmiah yang telah mereka terbitkan setiap tahun? Berapa harganya?

Itu belum lagi kita persoalkan, berapa banyak wang royalti untuk karyawan dan penulis kita yang telah diagihkan? Mana senarainya?

Institusi bahasa seperti DBP ini memang mempunyai peranan yang penting, namun dalam melaksanakan peranan itu sewajarnya ia bersesuaian dengan dimensi bahasa itu sendiri.

Mereka tidak perlu membazir berkempen seperti mana kempen keselamatan jalan raya oleh polis atau Jabatan Keselamatan Jalan raya (JKJR).

Mereka tidak perlu membuang wang dengan membuat program seperti program karnival ‘Jom Heboh’. Bahasa ini bukan barangan yang boleh dibeli apabila seseorang itu datang ke DBP atau pesta pameran. Semua ini adalah konsep yang salah dalam membantu perkembangan Bahasa Malaysia.

Apa yang perlu dilaksanakan

Bahasa memerlukan penulisan, terjemahan, transkrip, dokumentasi, wacana dan edaran yang cekap, banyak dan mantap dalam aspek penghasilannya.

Untuk mendapatkan semua ini, mereka (institusi bahasa) perlu melabur dalam penyelidikan dan pembangunan sumber manusia.

Penterjemah, penyelidik dan pengkritik mesti diberi peranan yang lebih besar dalam mencorakkan perkembangan bahasa. Jangan dihambat mereka dengan kekangan politik atau undang-undang.

Pastikan buku-buku terjemahan dan penerbitan mesti merangkumi semua aspek, semua golongan dan semua bangsa.

Elakkan dari sewenang-wenangnya mengharamkan buku yang mereka sendiri benci, sama ada politik, agama atau seks; dan dalam konteks seks, mereka tidak boleh lupa ketinggian seni pantun, gurindam, syair Melayu kuno yang indah dan dalam maknanya, bukan sekadar lucah yang terbenak di minda ‘penguasa’ bahasa.

Galakkan perdebatan dan kritikan terhadap setiap penerbitan mereka. Maka dunia buku akan subur, minat akan diransang, maka bahasa pun berkembanglah sedikit demi sedikit.

Dalam arena sebegini, wang rakyat akan mengalir dengan lebih bermakna lagi dalam industri ini.

Kita masih menunggu terjemahan karya-karya besar dunia serta karya asli Bahasa Malaysia dari warga Malaysia dari kaum Cina, India dan Bumiputera yang tidak terhad kepada kehidupan orang Melayu tetapi menjangkau budaya bangsa pelbagai kaum.

Begitu juga karya Bahasa Malaysia perlu diterjemah ke dalam bahasa-bahasa dunia serta bahasa-bahasa yang diamalkan di tanah air seperti Tamil, Cina, Iban, Kadazandusun dan sebagainya.

Kita sering keliru kerana walau pun pertuturan dalam Bahasa Malaysia tinggi jumlah penggunanya, ia masih tidak menunjukkan atau memberi apa-apa nilai hebat yang perlu dibanggakan sangat.

Sebenarnya, yang paling utama hendak dikembangkan ialah ilmu pengetahuan termasuk ilmu dalam Bahasa Malaysia, bukan bahasa percakapan atau pertuturan semata-mata.

Jika cakap sahaja, semua orang boleh ‘goreng’. Lagi pula Bahasa Malaysia bukan milik satu kaum sahaja. – Roketkini.com