Berita

Masalah projek MRT boleh selesai jika kerajaan, MRT Co jujur

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Yang dijanjikan oleh kerajaan kepada pemilik tanah dan peniaga di kawasan Bukit Bintang ialah pembinaan dua stesen MRT di kawasan itu, dan ianya telah pun dipersetujui semua pihak terbabit.

Cadangan asal ialah mewujudkan stesen Bukit Bintang Timur dan Bukit Bintang Barat dalam kawasan bersejarah di pusat bandaraya itu.

Yang menimbulkan masalah sekarang ialah apabila syarikat Finance Minister Inc, iaitu MRT Co mengubah-ubah pendirian, termasuk mengemukakan cadangan terbaru yang hanya mahu membina sebuah stesen sahaja, iaitu Bukit Bintang Central.

Apa yang berlaku sekarang ialah MRT Co secara halus untuk memaksa peniaga dan pemilik tanah agar akur kepada tuntutan mereka, kata Ahli Parlimen DAP Bukit Bintang Fong Kui Lun.

“Mereka pandai cakap… Taktik mereka saya tahu. Diupahnya orang pergi jumpa beberapa pemilik, ‘sweet talk’ dengan mereka untuk minta mereka setuju dengan cadangan dia.

“Mereka harus hentikan aktiviti sebegini, sepatutnya pergi jumpa terus dengan jawatankuasa penduduk dan pemilik yang sudah ditubuhkan yang mewakili semua orang.

“Kalau nak cakap apa-apa, jumpa dengan mereka yang mewakili semua orang, bukan orang perseorangan,” katanya kepada Roketkini.

Fong berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Co Datuk Azhar Abdul Hamid semalam yang melahirkan rasa lega kerana pemilik tanah di Jalan Sultan dan Jalan Inai serta peniaga-peniaga di kawasan Bukit Bintang bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan MRT Co.

Menurut Fong, kenyataan Azhar tidak benar, dan niat MRT Co untuk tukar dari pelan asal akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas manakala aktiviti perniagaan sepanjang projek itu dilaksanakan akan terjejas teruk.

Malah, jelasnya, projek MRT yang dijangka siap sepenuhnya pada 2016 itu akan “menghancurkan” Sungai Wang dan Lot 10 seperti mana pada tahun 2000 apabila perniagaan di kawasan itu terbantut selama tiga bulan dan mengakibatkan kemerosotan sebanyak 50 peratus.

“Itulah sebabnya kita cadangkan supaya kembali kepada plan asal kerana sekarang ini tapak Bukit Bintang Barat itu kosong, hanya tempat parkir kereta,” katanya.

Berhubung kontroversi Jalan Sultan, Fong berkata setakat ini kawasan tersebut masih berada dalam keadaan ‘tidak terjamin.’

“Mereka kata jika laluan MRT melalui bawah tanah, takut akan membahayakan aktiviti-aktiviti di permukaan.

“Maknanya, dia mesti robohkan dahulu dan kemudian ‘letak’ balik. Rugilah jika berlaku begini kerana bangunan-bangunan di situ berusia lebih dari 100 tahun.

“Bagaimana pun, sekarang kita sedang menunggu keputusan untuk berjumpa Datuk Seri Najib Razak untuk kata putus terakhir,” katanya.

Menurut Fong, beliau bersama para penduduk dan pemilik Jalan Sultan mahu Perdana Menteri mempertimbangkan satu susun atur semula laluan MRT agar tidak melalui Jalan Sultan, tetapi melalui Jalan Tun Tan Cheng Lock, Plaza Rakyat sehingga ke kawasan Bukit Bintang. – Roketkini.com