Rencana

Khaled Nordin, kenapa kau degil? – Oleh Izmil Amri

9 NOVEMBER – Tidak, kes UKM4 belum basi. Terima kasih kepada kedegilan Khaled Nordin, kes UKM4 masih lagi seronok diwacanakan. Kenapa seronok? Kerana tidak ada yang lebih seronok daripada melihat pemerintah yang degil berdepan dengan mahasiswa yang cekal dengan prinsip perjuangan.

Tambah seronok apabila sudah ada suara dari dalam struktur pemerintah itu sendiri yang beriya-iya memujuk kerajaan supaya tidak dirayu keputusan kes UKM4 itu, supaya tidak malu dua kali.

Mahasiswa dan anak muda seluruh Malaysia melihat kes UKM4 sebagai isu besar yang telah berjaya menjentik hidung Kementerian Pengajian Tinggi apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan empat mahasiswa sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (yang kini sudah bergelar graduan) untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memberi alasan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digubal demi menjaga tata susila dan norma moral masyarakat kampus.

Setelah puas diselak-cari celah mana yang disebut kononnya itu tujuan AUKU digubal, dan lantas tidak pun jumpa, maka dua daripada tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan Mahkamah Tinggi turut dengan kejamnya mengenakan kos ke atas empat anak mahasiswa tersebut – Hilman Idham, Woon King Chai, Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina – yang punya kemungkinan berdepan dengan perintah membayar kos mencecah RM60,000.

Justeru, Mahkamah Rayuan mendapati Seksyen 15 (5) (a) AUKU yang digunakan untuk menganiayai UKM4 adalah tidak sah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan Hakim Hishamudin

Maka Hakim Rayuan Hishamudin Yunus pun memberi rasional beliau (yang jauh lebih masuk akal) dan membenarkan permohonan empat siswazah malang ini.

Penghakiman Yang Arif  Datuk Hishamudin menggunakan kaedah mencari tafsir dan interpretasi asal kepada kehendak Parlimen sewaktu awal-awal ia menggubal akta tersebut. Kaedah interpretasi ini disebut sebagai purposive approach seperti yang diputuskan dalam kes Pepper v. Hart [1993] AC 593 .

Dalam penghakiman beliau yang memetik hansard ucapan Menteri sewaktu mengusulkan AUKU dipinda dalam tahun 2008, telah menjumpai bahawa tidak ada sebarang bahasa yang mencadangkan bahawa AUKU bertujuan untuk menjaga orde sosial atau moraliti awam. Orde sosial dan moraliti awam adalah alasan penghakiman Datuk Aziah Ali (kini hakim Mahkamah Rayuan) semasa menolak kes UKM4 di Mahkamah Tinggi.

Datuk Hishamudin menegaskan bahawa asas penghakiman Datuk Aziah adalah salah memandangkan asas itu tidak pernah wujud dalam niat Parlimen, dan seolahnya hanya dipetik dari langit.

Beliau juga menyentuh soal kekangan munasabah ke atas kebebasan berpendapat yang tidak ditentang oleh responden-responden, dan berpendapat berdasarkan kes-kes bahawa kekangan undang-undang dalam soal hak asasi harus dibaca secara sempit, yakni dengan tidak terlalu bebas meletakkan kendala undang-undang ke atas hak-hak asasi.

Paling penting, alasan penghakiman beliau juga menyebut tentang peranan universiti sebagai tapak semai minda-minda kritis serta bagaimana AUKU menghalang percambahan ide lantas menjadikan institusi pengajian tinggi tidak lebih dari sekadar kilang penghasilan robot.

Keputusan Hakim Linton

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Linton Albert pula menyentuh pendekatan literal Datuk Aziah dalam menafsirkan disiplin mahasiswa yang berada di universiti sebagai sebahagian daripada konsep moral dan keteraturan awam serta turut menyentuh soal kekangan undang-undang munasabah.

Beliau turut menguji sama ada hak asasi seseorang sudah pun dilanggar, dengan menggunakan prinsip-prinsip dalam kes terdahulu, iaitu untuk menguji samaada tindakan negara (state) itu menafikan hak asasi seseorang sah atau tidak, perlulah melihat kepada asas hak tersebut, sama ada ia langsung terkesan atau tidak.

Yang Arif Datuk Linton lebih banyak menggunakan fakta dan rasional dalam memberi alasan penghakiman, dan mencemuh AUKU sebagai suatu akta yang pelik berdasarkan fakta bahawa UKM4 ditahan di Hulu Selangor hanya kerana mereka hadir di dalam kawasan pilihan raya kecil itu berlangsung pada April 2010.

Kritik besar beliau kepada keabsahan AUKU ialah akta tersebut menafikan hak partisipasi demokrasi dan itu tidak boleh diterima sebagai sesuatu yang munasabah atas nama mengekang hak bersuara atau berpendapat berdasarkan limitasi perlembagaan.

Kritik ini adalah benar, memandangkan kekangan AUKU itu tidak meletakkan garis nyata antara “menyatakan sokongan kepada parti-parti politik” dan menunjukkan sokongan dalam bentuk undi  dalam sesuatu pilihan raya. Jika salah tafsir, AUKU boleh menghalang mahasiswa yang berusia 21 tahun ke atas daripada mengundi!

Keputusan Hakim Low

Alasan penghakiman Datuk Wira Low Hop Bing, seorang lagi Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes UKM4, adalah berbeza dengan dua di atas.

Pendekatan tafsiran undang-undang Low Hop Bing sama sebiji dengan hakim Mahkamah Tinggi sebelumnya, iaitu menggunakan interpretasi literal dan terlalu bebas mencapah tafsiran moralnya sehingga mengaitkan disiplin mahasiswa sebagai piawai moral yang diterima pakai di universiti.

Low menyebut AUKU sebagai aparat mengekang pengaruh politik dari menjarah minda mahasiswa dengan ideologi ekstrem, lantas menafikan fungsi universiti sebagai tempat menuntut ilmu.

Pandangan ini jelas sempit dan tidak progresif. Barangkali beliau punya masalah dengan penyebaran politik pembangkang di kalangan kelompok mahasiswa yang kritis kepada pentadbiran kerajaan yang begitu cela dengan korupsi dan politik perkauman.

Namun sedikit ganjil apabila secara obiter dicta (kata-kata sampingan dan bukan sebahagian daripada alasan penghakiman), Datuk Wira Low mencadangkan supaya AUKU dipinda oleh Parlimen. Mahkamah, katanya, hanya boleh memberi interpretasi kepada undang-undang, dan bukan mengubahnya.

Pelik kerana boleh dilihat hampir 90 peratus alasan penghakiman Low Hop Bing adalah petikan penghakiman kes-kes yang beliau rujuk. Hanya satu ayat itulah yang boleh dikira hasil pendapat beliau sendiri.

Rata-rata pengamal undang-undang melihat alasan penghakiman Low Hop Bing sebagai sesuatu yang ditulis secara rigid dan mungkin juga malas. Demikian barangkali kerana mahu memperlihatkan bahawa badan kehakiman masih punya ikatan-ikatan longgar dengan pihak pemerintah dalam mengangkat kebijakan yang sedia ada.

Apa yang patut kerajaan BN buat

Itu keputusan kes. Kini kesannya kepada apa yang perlu dilakukan dalam konteks political will. Perlukah kerajaan Barisan Nasional merayu semula keputusan Mahkamah Rayuan yang bukan sahaja amat popular di kalangan mahasiswa tetapi juga bertapak kukuh dengan alasan yang demokratik dan berperlembagaan?

Persoalan besar di sini ialah kenapa Khaled Nordin harus berdegil? Kenapa Menteri Pengajian Tinggi begitu ego?

Saifuddin Abdullah, Gan Ping Sieu dan Khairy Jamaluddin yang mewakili BN telah duduk semeja dengan anak-anak muda UKM4 ini dalam satu sidang media dan bersetuju menasihatkan Kabinet agar kes ini tidak dirayu supaya kerajaan tidak bertambah malu.

Siapa ketiga-tiga pemimpin BN ini? Seorang daripadanya adalah timbalan menteri kepada Khaled Nordin sendiri, yang barangkali akan kena cantas dalam adat politik UMNO sejak azali kerana berani menegur pemerintah. Seorang lagi adalah timbalan menteri yang peduli soal anak muda tetapi tidak sangat diambil serius oleh kerajaannya sendiri. Yang terakhir ialah seorang ketua pemuda, yang belum jadi menteri dan terkial-kial mencari populariti.

Ketiga-tiganya dilihat sebagai tidak punya cukup kuasa untuk benar-benar menggertak Kabinet pimpinan Datuk Seri Najib Razak agar mendengar dengan penuh teliti dan membuat perubahan.

Kebangkitan mahasiswa

Dalam rentak politik warga kampus, kabinet Najib seharusnya gerun dengan ombak-ombak kebangkitan mahasiswa. Gumpalan salji yang menuruni bukit sudah semakin besar dan akan membantai apa sahaja yang menghalang laluannya.

Ini dapat dilihat sewaktu anak muda bangkit mempertahankan Dr Aziz Bari di Universiti Islam Antarabangsa kerana digantung semata-mata mengemukakan pandangan dalam bidang yang menjadi kepakarannya. Anak-anak muda yang sedikit tenggelam suara mereka di sebalik politik kepartian orang dewasa (sejak reformasi 1998) kini bersuara kembali.

Kini terbit pula kemenangan rayuan UKM4 yang disambut oleh tiga politikus BN dengan dada lapang. Walau hanya tiga, ia satu petanda baru. Pada dekad-dekad sebelumnya, mustahil ada mana-mana wakil dari BN yang berani membuka mulut.

Namun sedikit malang kerana yang tiga itu kekal di tahap suara minoriti. Barangkali Gan Ping Sieu perlu masuk DAP, sekali dengan Saifuddin Abdullah. Khairy pula… err.. tak apalah. Lupakan dulu Khairy buat masa ini. Dia mungkin terlalu sibuk dengan twitter, menghebah dan menyebar itu ini untuk kepentingan politiknya.

Keangkuhan pimpinan UMNO

UKM4 menyalahkan keangkuhan para pemimpin UMNO, dan memang benar mereka itu angkuh apabila membuat keputusan untuk merayu demi menegakkan benang yang basah. Keangkuhan ini sudah jadi darah daging pimpinan UMNO; sifat mazmumah yang seharusnya sudah dibuang tatkala mereka menerima penampar rakyat pada Mac 2008.

Tetapi tidak, pimpinan tinggi UMNO tidak mahu belajar. Mereka kekal angkuh sombong dengan ego yang melangit.

Inilah penyakit UMNO yang bakal membuat ia jatuh terlungkup. Berjuta-juta ahli UMNO, yang walau pun tidak selesa dengan permainan politik kepimpinan mereka, akan turut tertiarap hanya kerana bongkaknya pimpinan parti menentang empat anak muda berani yang telah mencabarnya di mahkamah.

Pimpinan UMNO telah menyeret ahli-ahli parti yang inginkan perubahan. Walau yang berani bersuara cuma tiga pemimpin kecil BN, yang diam gelisah dengan telatah pucuk pimpinan sebenarnya ramai di kalangan UMNO dan BN. Bukankah itu suatu yang malang? – Roketkini.com